Rakyat Malaysia Rancakkan Ekonomi Bandung - pakdin.my

Adalah tidak melampau jika dikatakan rakyat Malaysia adalah penyumbang kepada kerancakan ekonomi di Bandung.

bandung 2

Bandung, sebuah kota yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dengan memandu dari kota Jakarta adalah destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk membeli belah dan kota itu begitu sibuk dengan kehadiran rakyat Malaysia.

Bilangan tinggi rakyat Malaysia mengunjungi Bandung sekarang ini adalah kerana terdapat penerbangan terus Kuala Lumpur-Bandung selain tambang udara yang murah.

Di mana sahaja berjalan di kota itu terutamanya dalam pusat membeli-belah, pasti akan berselisih bahu dengan rakyat Malaysia. Bilangan pengunjung dari Malaysia jauh lebih ramai berbanding pengunjung dari negara-negara lain, sehinggakan peniaga-peniaga tempatan bertutur dalam Bahasa Malaysia untuk melayan mereka.

Memandangkan aliran wang dari Malaysia begitu laju memasuki Bandung, tidak hairanlah terdapat papan-papan tanda di pusat membeli-belah tertulis amaran kepada peniaga supaya berurusan dalam matawang Indonesia sahaja.

Saya berada di di Bandung baru-baru ini dan jelas sekali bilangan pengunjung dari Malaysia adalah ramai. Pada hujung minggu, kawasan pusat membeli belah ini akan mengalami “macet” iaitu kesesakan lalulintas akibat kenderaan yang begitu banyak memasuki kota Bandung.

SYURGA MEMBELI BELAH

bandung 1

Menurut seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Yazid, kota Bandung dibanjiri oleh rakyat Malaysia terutamanya ketika musim cuti sekolah hujung tahun dan beliau sendiri tidak berpeluang untuk berehat pada musim itu.

“Terlalu ramai pengunjung Malaysia, ya Bandung ini memang tempat rakyat Malaysia datang dan peniaga di Bandung juga sangat gembira dengan rakyat Malaysia kerana mereka datang berbelanja,” kata beliau.

Jika membawa rakyat Malaysia ke tempat-tempat lain, kaum wanita akan meminta disingkatkan lawatan kerana mereka mahu ke pusat membeli-belah.

Tinjauan mendapati kaum wanita dari Malaysia adalah majoriti yang mengunjungi Bandung dengan tujuan membeli belah di Factory Outlet dan Pasar Baru.

Factory Outlet merupakan bangunan dan banglo yang bertukar wajah menjadi pusat jualan pakaian berjenama antarabangsa yang dihasilkan di Indonesia dan dijual dengan harga yang murah, kononnya kerana tidak menepati piawaian antarabangsa atau terdapat kerosakan kecil yang tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

PENGALAMAN RAKYAT MALAYSIA

Seorang rakyat Malaysia Fadli Ahmad, 56, dari Johor yang berkunjung bersama keluarganya berkata mereka ke Factory Outlet untuk membeli pakaian-pakain berjenama antarabangsa kerana ianya memang murah.

Ini adalah kali pertama mereka berkunjung ke Bandung dan sebelum ini hanya terdengar cerita daripada rakan-rakan yang pernah datang bahawa Bandung adalah syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia.

“Kami sekeluarga membeli-belah dan saya sendiri membeli lima helai seluar jeans kerana murah dan fesyen terkini,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Mereka menyertai rombongan sebuah syarikat pelancongan di Malaysia yang menawarkan pakej pelancongan ke Bandung dan bertolak dari Kuala Lumpur.

“Kami di sini selama tiga hari dua malam dan saya membawa keluarga untuk membeli belah sebagai persiapan menyambut Aidil Fitri lebih kurang dua bulan lagi,” kata beliau.

Di Pasar Baru pula iaitu sebuah kompleks enam tingkat yang menempatkan kedai-kedai kain dan baju, kelihatan begitu ramai rakyat Malaysia berada di setiap tingkat dan di merata-rata kedai dengan tawar menawar.

Seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Farah berkata, beliau datang bersama rombongan 25 orang membeli kain pasang yang sesuai dijadikan baju kurung.

Beliau yang menjalankan perniagaan butik pengantin di Ipoh, Perak berkata antara kain-kain yang dibelinya adalah yang sesuai untuk dijadikan baju pengantin serta mempunyai motif yang meriah.

“Memanglah agak murah kerana barang dari sini dibawa masuk ke Malaysia dan saya menawarkan kain ini untuk dijadikan pakaian pengantin,” katanya.

MAKAN DI KAMPUNG DAUN

Kampung Daun Restaurant, near Bandung, Indoensia
Kampung Daun Restaurant, near Bandung, Indoensia

Selepas membeli belah warga Malaysia juga berkunjung ke tempat-tempat menarik berdekatan untuk bersiar atau menjamu selera.

Kampung Daun terletak di daerah Cihideung iaitu kira-kira 30 minit memandu dari Kota Bandung dan di kaki bukit itu terdapat sebuah kawasan makan yang terkenal.

Di sini, ramai juga rakyat Malaysia yang menjamu selera untuk menikmati makanan Sunda dalam suasana romantis, sejuk dan nyaman.

Pengunjung akan memasuki pondok yang dipanggil “saung” dan terdengar keriuhan suara orang yang bercakap dalam bahasa Melayu dan jelas mereka adalah orang Malaysia.

Seorang pengujung yang ditemui Siti Rohaya Ramlee, 40, berkata beliau datang ke tempat itu buat kali kedua setelah mendapati makanannya sedap dan suasana yang begitu nyaman.

“Di sini jauh daripada kesibukan kota, tidak terdengar suara kenderaan, malah kita boleh dengar bunyi burung berkicauan sambil makan, sebab itu saya datang lagi,” kata beliau yang datang bersama tiga rakannya.

Siti Rohaya dari Kuala Lumpur berkata mereka menginap di sebuah hotel di kota Bandung dan menyewa teksi untuk berehat dan menjamu selera di Kampung Daun setelah penat membeli belah.

“Sudah pasti kami pergi ‘shopping’ dulu, itu perkara pertama dan petang kami makan di sini sebelum sambung lagi ‘shopping’ esok,” katanya.

MELAWAT TANGKUBAN PERAHU

bandung 4

Gunung Tangkuban Perahu merupakan sebuah gunung berapi yang masih aktif di Cikole, Lembang iaitu kira-kira 20 km dari kota Bandung. Gunung ini pernah mengeluarkan asap laharnya pada awal tahun 2013 tetapi ianya masih dikatakan selamat untuk dikunjungi.

Kawasan ini juga tidak sunyi dengan pengunjung Malaysia sehinggakan penjual barangan cenderamata boleh berbahasa Malaysia dan mengenali rakyat Malaysia.

Seorang penjual cenderamata yang ditemui, Omar Jupri berkata orang Malaysia sering datang terutamanya pada hujung minggu untuk melihat Tangkuban Perahu dan mereka akan membeli ole-ole sebagai kenangan.

“Memangnya jika dikira pelawat asing, orang Malaysia la paling ramai sekali dan saya sendiri faham bahasa Malaysia itu,” katanya yang memberi penerangan kepada pelancong mengenai mitos Tangkuban Perahu.

Seorang rakyat Malaysia Mohamad Salim ketika ditemui berkata beliau pertama kali datang ke Bandung dan membawa keluarganya untuk melihat sendiri sebuah gunung berapi.

“Di Malaysia tidak ada gunung berapi, kita hanya melihat gambar atau berita tetapi hari ini saya bawa keluarga untuk melihat sendiri bagaimana rupanya gunung berapi dan laharnya yang masih aktif mengeluarkan asap,” katanya.

Mohamad yang berasal dari Kedah membawa isteri dan tiga orang anaknya berkata selain daripada membeli-belah di Bandung, beliau mahu anak-anaknya memahami geografi dengan melihat sendiri gunung berapi.

Gunung Tangkuban Perahu bermaksud perahu terbalik kerana bentuk fizikal gunung itu seolah-olah perahu terbalik dan ia mempunyai mitosnya tersendiri mengenai cerita Dayang Sumbi yang berikhtiar untuk menolak lamaran anaknya sendiri Sangkuriang.

UTAMADUNIARakyat Malaysia Rancakkan Ekonomi Bandung

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium