Rakyat Perlu Bersikap Inklusif Dan Bukannya Eksklusif – @NajibRazak - pakdin.my

SELANGAU (Sarawak) — Rakyat di seluruh pelosok negara digesa agar bersikap inklusif bukan eksklusif dalam semangat keberkesamaan di bawah payung 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata menerusi pendekatan seumpama itu, negara akan kekal menjadi kuat sebagaimana Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan yang berfungsi di bawah mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

“Kalau kita bersikap inklusif sama ada kita daripada etnik besar, minoriti ataupun kecil sama ada di bandar, luar bandar dan pedalaman kita semua mesti merasai semangat keberkesamaan.

“Kita semua mesti merasai bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan untuk kita dan akan terus memperjuangkan untung nasib kita dan rakyat Malaysia akan mendapat pertimbangan yang adil dan saksama di bawah kerajaan BN,” katanya ketika berucap pada majlis Ngabang Gawai di Rumah Panjang Jangit, Tamin, kira-kira 60km dari Sibu.

Majlis itu turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Mahmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun yang juga anggota Parlimen Selangau dan tuai rumah panjang itu.

Najib berkata kerajaan BN akan berusaha untuk tidak mensia-siakan sokongan rakyat termasuk masyarakat Iban di rumah panjang di Sarawak bagi meneruskan agenda pembangunan negara.

“Menerusi mandat rakyat kita akan menunaikan aku janji kita kepada rakyat. Berbanding apa sahaja pembangkang lakukan, mereka banyak janji manis yang tidak mungkin mampu ditunaikan. Mereka hanya mimpi, mereka kemaruk dan mereka mabuk kuasa, tetapi BN… kita mendapat mandat dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Amanah ini berat, bukan amanah ini kita boleh sia-siakan. Sebab itu hari Ahad saya tetap bekerja sebagai perdana menteri kerana kita serius mendapat mandat yang tidak memandang ringan amanah rakyat,” katanya.

Perdana menteri berkata antara buktinya kerajaan persekutuan akan meneruskan Program Sentuhan Rakyat termasuk memperuntukkan RM30 juta dana tambahan untuk meneruskan usaha pengukuran perimeter tanah adat Bumiputera di Sarawak tahun depan.

Pada majlis itu, Najib juga mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi membaik pulih dan membangunkan Rumah Panjang Jangit dan Rumah Panjang Ringkai yang berhampiran.

Terdahulu, ketibaan Najib disambut dengan penuh adat tradisi kaum Iban pada sambutan majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di rumah panjang yang mempunyai 35 pintu itu bagi meraikan perayaan Gawai bersama-sama perdana menteri.

Pelbagai lapisan masyarakat Iban daripada peringkat tua, muda dan kanak-kanak berpusu-pusu bersalaman dengan Najib sebaik perdana menteri yang diiringi Rosmah tiba bagi meneruskan lawatan Gawai di rumah panjang keluarga Entulu.

Sementara itu, Entulu dalam ucapannya berharap kunjungan Najib buat julung kali ke rumah panjang itu ‘mengidupkan’ semangat 1Malaysia dan masyarakat Iban juga harus mengamalkan amalan kunjung-mengunjungi orang Melayu semasa perayaan Aidilfitri Ogos ini.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Naslabi Sungai Pakoh Jaibin Dana begitu gembira bertemu pemimpin nombor satu negara itu yang pertama kali mengunjungi rumah panjang itu.

“Inilah kali pertama berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib. Beliaulah juga perdana menteri pertama Malaysia yang melawat rumah panjang ini,” katanya.

Najib-Wilson-Begat-Bakir-longhouse-Penom

UTAMABERITASARAWAKRakyat Perlu Bersikap Inklusif Dan Bukannya Eksklusif - @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium