Saturday - July 24, 2021 @ 22:45
BERITARakyat Perlu Bijak Nilai Kesahihan Maklumat Media Sosial

Rakyat Perlu Bijak Nilai Kesahihan Maklumat Media Sosial

SocialMediaRakyat Malaysia, terutama golongan muda yang menjadikan media sosial sebagai sumber maklumat utama, perlu bijak menilai kesahihan maklumat yang disiarkan, dan tidak menerimanya bulat-bulat.

Malah, media sosial ini juga diramal menjadi fenomena besar pada pilihan raya umum ke-13 kali ini dan ia turut diakui oleh beberapa pemimpin politik, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib pada minggu lepas mengingatkan pengamal media sosial supaya bersikap lebih matang dan bertanggungjawab apabila menggunakan kemudahan baharu itu dan menyifatkan sebagai sesuatu yang menyedihkan jika media sosial tidak terikat dengan sebarang etika.

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia Dr Megat Al-Imran Yasin berkata tidak semua media sosial mementingkan etika dalam penulisan mereka dan kesilapan maklumat atau putar-belit mungkin boleh berlaku.

“Kewujudan Internet, komputer dan juga telefon pintar menyebabkan ramai boleh jadi ‘wartawan’ dan penyebaran berita juga lebih pantas berbanding dulu,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Katanya pada musim menjelang pilihan raya ini, didapati banyak berita mengenai politik disebarkan dan pengamal media sosial perlu diingatkan bahawa mereka masih terikat dengan undang-undang negara.

“Mereka boleh berdepan dengan saman fitnah jika memburukkan imej individu tanpa bukti manakala jika menyebarkan berita tidak tepat mengenai kerajaan sehingga menyebabkan kekecohan juga boleh ditahan di bawah Akta Hasutan,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap pembaca memeriksa terlebih dahulu sumber maklumat yang diperoleh daripada Internet dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat itu, jika ada rasa was-was.

“Penulis berita perlu menghayati ajaran Islam yang menyatakan bahawa membuat fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh manakala pembaca perlu menilai sebelum menyebar semula berita itu di laman Facebook atau Twitter mereka,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik Prof Madya Zainal Abidin Borhan mengakui ‘kuasa’ media sosial kerana masyarakat kini taksub dan mudah mempercayai maklumat daripada media digital itu.

Zainal Abidin, yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengeluarkan garis panduan mengenai etika penulisan kepada media sosial di negara ini.

“Benda yang tidak betul pun boleh jadi betul dan fakta yang betul pun boleh jadi salah. Mereka berani buat kenyataan dengan menggunakan identiti yang tidak sah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan kebijaksanaan pembaca untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat yang disebarkan, sama ada ia benar atau fitnah.

Dalam pada itu, bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia Norila Daud beranggapan, perbuatan memburuk-burukkan individu atau parti politik akan berleluasa semasa musim pilihan raya kerana ia tradisi berkempen.

Ia berbeza dengan etika yang diamalkan oleh media tradisional, apabila maklumat yang diperoleh dan dilaporkan, diyakini lebih tepat selain telah melalui beberapa proses suntingan oleh penyunting atau editor berpengalaman.

“Saya akui media sosial kini lebih terkenal sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat, tetapi pada akhirnya saya yakin media tradisional akan kembali menjadi sumber maklumat tepat kepada pembaca,” katanya.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here