Rakyat Sarawak Kekal Harmoni Dengan Semangat 1Malaysia - pakdin.my

Sarawak, yang terkenal dengan gelaran Bumi Kenyalang menyertai Malaysia pada 16 Sept, 1963.

Negeri, yang kaya dengan pelbagai budaya dan bahasa, perpaduan, keramahan rakyat berbilang kaum dan hidup rukun damai sejak merdeka, menjadi asas kepada kejayaan Sarawak menempuh cabaran dan bangkit lebih maju sejak 49 tahun bersama-sama membentuk Malaysia.

Tidak kira sama ada di bandar-bandar utama mahupun di kawasan luar bandar dan jauh di pedalaman, nikmat kemajuan sudah mula dirasai rakyat di seluruh pelosok negeri.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata Sarawak adalah antara negeri yang paling pesat membangun di Malaysia dan ia jelas terbukti dengan kejayaan Sarawak untuk membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan.

DICEMBURUI RAKYAT NEGARA LAIN

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam kini rakyat Sarawak bukan sahaja sudah mampu bersaing dengan dunia luar malah terbukti mencapai banyak kejayaan dalam segala bidang.

“Syukur hari ini kita dapat menikmati hasil kemerdekaan dan kita boleh lebih maju ke hadapan kalau kita kekal memelihara perpaduan dan terus bekerjasama tanpa mengira kaum,” katanya.

Adenan turut menasihati generasi muda agar tidak memandang remeh soal perpaduan kaum di negeri ini sebaliknya ia perlu terus dipelihara dan dikekalkan sampai bila-bila.

Katanya, tidak ada negara di dunia seperti Malaysia yang baru 55 tahun merdeka tetapi begitu pesat membangun walaupun mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Kejayaan itu sering dicemburui rakyat negara lain”, kata Adenan pada seminar “Erti Kemerdekaan” anjuran Yayasan Sarawak di sini baru-baru ini.

PERLU TAHU SEJARAH UNTUK MAJU

Adenan menggesa generasi muda hari ini agar lebih mendalami dan memahami sejarah negara bagi mengelak daripada mudah terpengaruh dengan hasutan daripada ‘pihak luar’ yang mahu menjatuh dan meruntuhkan negara.

“Untuk maju ke hadapan, kita harus tahu sejarah yang berlaku sebelum ini dan apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Dalam pada itu seorang peniaga Hisham Yunus, 35, berkata Sarawak hari ini bertuah kerana dapat mengecapi nikmat kemerdekaan bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal malah pembangunan insan.

Kemudahan yang diberikan oleh kerajaan seperti pendidikan yang lebih baik telah banyak membuka peluang kepada anak Sarawak untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka, katanya.

“Sekarang tidak lagi mustahil ramai anak Sarawak yang bekerja dalam pelbagai bidang profesional tanpa mengira kaum dan bangsa dengan adanya peluang pendidikan yang lebih baik yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Hisham, yang juga anak jati Sarawak, bersyukur dengan kemudahan yang ada dan yakin rakyat Sarawak akan kekal bersatu untuk sama-sama memajukan negeri dan negara Malaysia.

BERUNTUNG

Seorang pekerja buruh Jefri anak Kirang, 47, pula berkata rakyat Sarawak beruntung kerana berada di bawah sebuah kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat.

Banyak kemudahan seperti Kedai 1 Malaysia, Klinik 1 Malaysia serta beberapa bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bantuan pendidikan yang membantu meringankan beban rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah.

“Kami rakyat Sarawak berharap kerajaan khasnya di peringkat pusat menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat khasnya pendidikan dan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

KAGUM DENGAN PERPADUAN

Sementara itu seorang pekerja awam Muhamad Zaini Hassan, 37, berasal dari Johor berkata dia kagum dengan perpaduan rakyat di Sarawak yang sememangnya sudah lama mengamalkan semangat 1Malaysia.

Kerjasama yang padu rakyat di Sarawak adalah asas kepada kejayaan Sarawak untuk bangkit menjadi sebuah negeri yang pesat membangun dalam Malaysia ketika ini.

“Orang Sarawak memang unik kerana mereka dapat bekerjasama dalam segala bidang tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Sejak lima tahun di Sarawak, Muhamad Zaini berkata dia tidak pernah melihat rakyat Sarawak berselisih faham dalam sesuatu isu yang remeh malah mereka kekal hidup rukun damai.

Sememangnya orang Sarawak layak untuk menjadi contoh kepada rakyat Malaysia dalam semangat 1Malaysia yang menjadi tunjang kepada kekuatan negara untuk mencapai status negara maju dalam aspek fizikal dan mental.

Dengan jumlah penduduk hampir 2.5 juta Sarawak terbahagi kepada 11 bahagian keseluruhannya iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Kota Samarahan, Bintulu, Mukah dan Betong.

Sarawak kaya dengan hasil sumber aslinya seperti gas asli, petroleum, balak dan kelapa sawit.

Terdapat juga sumber ekonomi yang baru seperti sektor perkilangan elektronik dan bioteknologi selain memberi tumpuan kepada sektor tenaga yang boleh menjadi nadi utama kepada pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) untuk memacu Sarawak ke tahap negeri maju menjelang 2030.

UTAMABERITARakyat Sarawak Kekal Harmoni Dengan Semangat 1Malaysia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium