Ramai lagi kurang makan, makan, bersyukur guna pinggan pasar malam

Aliff, dalam keadaan tergamam melihat mangkuk plastik yang disifatkannya sebagai tempat “basuh ikan” [pakdin.my]

Bendahari PAS menasihatkan pihak berkenaan agar lebih bersyukur dengan hidangan makanan diberikan.

Datuk Iskandar Abdul Samad berkata memperlekeh alatan makan dalam majlis mewah seperti menghina individu lain yang masih kelaparan.

“Bersyukurlah dapat makan guna pinggan ‘standard’ pasar malam sebab ada yang nak dapat makan pun susah,” coret bekas exco Selangor di Instagram hari ini.

Walau tidak menamakan sesiapa, sindiran itu dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, dan ibunya Rozita Ibrahim.

Rozita semalam mempertikai sajian makanan dalam sebuah acara bertaraf Asean, termasuk dihidangkan dengan mangkuk tidak sesuai, malah mendakwa ramai tetamu yang kecewa.

Beliau turut memuat naik foto Aliff, dalam keadaan tergamam melihat mangkuk plastik yang disifatkannya sebagai tempat “basuh ikan”.

“Pinggan mangkuk kualiti pasar malam sedangkan satu meja kena bayar RM50,000 untuk 10 tempat duduk,” tulisnya di Instagram.

“Kalau dekat rumah macam ini kita hidangkan tetamu, dah kena carut kata Cef Wan dan ahli korporat lain.”

Loading...