Realisme Ahmad Zahid - pakdin.my

KEPUTUSAN Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas-tugas Presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan, sehingga satu tempoh yang diputuskan kelak merupakan satu kejutan politik kepada rakan dan musuh politiknya.

Ia kejutan kerana ia dilakukan sebaik beliau menamatkan satu wawancara bersama UMNO Online yang menjelaskan pelbagai kekeliruan isu membabitkan akar umbi UMNO dan orang Melayu secara keseluruhannya.

Rakan politik sudah tentu terkejut dan redha, musuh politik Ahmad Zahid dan UMNO pasti tersentak sebentar mencari alasan baharu untuk memusnahkan UMNO.

Pada hemat saya ada tiga isu besar yang melingkari keputusan Ahmad Zahid melepaskan tugas-tugas Presiden iaitu, dakwaan beliau cuba mengadakan kerjasama dengan DAP; serangan politik yang menyatakan UMNO tiada hala tuju di bawah kepimpinan Ahmad Zahid; dan ancaman Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa akan ada lagi yang keluar parti jika Ahmad Zahid tidak membuat perubahan.

Mungkin isu kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang paling melukakan beliau. Ini dimainkan oleh musuh-musuh dalam parti dan luar parti bagi menunjukkan Presiden UMNO hilang prinsip perjuangan untuk berkuasa.

Sebenarnya sesiapa yang hadir dalam majlis penerangan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz tentu faham bahawa Nazri tidak pernah menyatakan UMNO akan bekerjasama dengan DAP. Nazri hanya menyatakan UMNO akan menyokong dan bekerjsama dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun akan datang. Anwar Ibrahim juga telah mempunyai sokongan DAP, PAN dan parti Sabah dan Sarawak.

Malangnya ada yang salah faham sokongan terhadap Anwar Ibrahim bermakna kita bekerjasama dengan DAP. Sokongan Ahmad Zahid kepada Anwar Ibrahim bukanlah kerana mereka sahabat atau mahu mencari kedudukan dalam kerajaan. Sebaliknya ia hanyalah untuk menyelamatkan UMNO dari berkubur.

Politik UMNO tidak begitu mudah apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beriltizam mahu UMNO dibubarkan dan ahlinya menyertai Bersatu. Ahmad Zahid mendedahkan semalam bagaimana dua pertemuan dengan Dr Mahathir, Pengerusi Bersatu itu mahu UMNO menyertai Bersatu dengan cara terhina dan hilang maruah. Justeru Ahmad Zahid berpandangan UMNO hanya selamat sebagai parti politik jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Semalam juga Ahmad Zahid menjawab dakwaan bahawa UMNO di bawahnya tiada hala tuju, yang sebenarnya telah pun beliau gariskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Hala tuju UMNO selepas perhimpunan tempoh hari adalah jelas. UMNO perlu menjadi kerajaan semula bagi menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam – sama ada lebih awal atau dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Sudah tentu UMNO dengan 3.6 juta ahli mempunyai pelbagai pandangan dan pendirian. Namun kekalahan besar kali pertama ini menjadikan sebahagian pemimpin pertengahan UMNO hilang sabar. Mungkin sebahagian mereka termasuk yang paling vokal, Khairy Jamaluddin, sendiri tidak pasti apa yang perlu dibuat dan apa masa depan. Maka menyalahkan Presiden adalah “escapism” yang paling realistik walaupun Ahmad Zahid hanya baharu menjadi Presiden selama 6 bulan.

Faktor terakhir yang mungkin menjadi “final straw” Ahmad Zahid ialah ugutan dan ancaman broker 36 orang wakil rakyat UMNO, Hamzah Zainuddin, bahawa akan ada lagi wakil rakyat akan keluar parti jika Ahmad Zahid tidak berundur.

Ahmad seorang yang realis. Daripada membenarkan musuh-musuh luar melemahkan parti menggunakan faktor dalaman, Ahmad Zahid memilih untuk mengorbankan dirinya terlebih dahulu. Dengan pengumuman penyerahan tugas-tugas Presiden kepada timbalannya, beliau menstabilkan parti buat seketika dan menutup alasan untuk wakil rakyat keluar parti.

Ini merupakan satu “checkmate” kepada Hamzah. Beliau tentu tidak terfikir bahawa seorang pejuang dan ahli politik tidak mudah putus asa seperti Ahmad Zahid akan mengalah dengan mudah.

Hamzah sudah lama mengenali Ahmad Zahid sebagai seorang yang tidak mudah melatah dan putus asa. Pada zaman mudanya Ahmad Zahid pernah menjadi pengkritik Dr Mahathir biarpun berjawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Dalam sejarah UMNO baharu mungkin beliaulah satu-satunya Ketua Pemuda yang berani mengkritik Presiden dalam Perhimpunan Agung.

Ramai orang berkata keberaniannya ketika itu kerana beliau orang Anwar Ibrahim. Namun beliau tetap bersama UMNO ketika dihumban ke ISA dan Anwar Ibrahim memilih jalan reformasi. Beliau tetap bersama UMNO ketika Dr Mahathir menyisihkan beliau dan menggugurkan beliau dari jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Beliau tetap bersama UMNO ketika boleh sahaja mengambil jalan mudah berhenti politik dan menyelamatkan diri dari pelbagai dakwaan hari ini.

Pastinya bukan mudah untuk Ahmad Zahid mengambil keputusan melepaskan tugas-tugas Presiden kepada timbalannya setelah hanya baru enam bulan memenanginya mengalahkan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaliegh Hamzah. Hanya insan yang berjiwa besar mampu melakukannya.

Saya percaya beliau berbuat demikian kerana tidak mahu parti berpecah-belah kerananya. Bertabahlah Ahmad Zahid. Percayalah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Ahli UMNO hanya berharap dengan keputusan ini jangan pula ada acara membelasah Mohamad Hassan bagi menjustifikasi tindakan mereka merebut jawatan dalam parti atau melompat keluar parti lagi.

Wakil rakyat UMNO jangan nanti jadi seperti peribahasa Melayu, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apa salah kita bersabar dan beristiqamah dengan perjuangan.

Oleh: Ab Jalil Backer

……

https://pakdin.my/tag/umno

UTAMAPOLITIKRealisme Ahmad Zahid

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium