Ribut badai Kampung PIDA 4 Deli [Video]

“Saya tak sempat berbuat apa-apa melainkan menarik anak yang sedang tidur dalam buaian untuk menyelamatkan diri walaupun ketika itu alang kayu dan zink jatuh bertimpa-timpa. (pakdin.my)

JITRA: “Saya tak sempat berbuat apa-apa melainkan menarik anak yang sedang tidur dalam buaian untuk menyelamatkan diri walaupun ketika itu alang kayu dan zink jatuh bertimpa-timpa.

“Saya gagahkan diri keluar melalui pintu belakang di bahagian dapur rumah bersama anak ketika hujan lebat, namun bersyukur kami berdua selamat,” kata Nurul Fahana Shahidan, 30.

Dalam kejadian jam 4 petang tadi, 10 rumah di Kampung PIDA 4 Deli, Mukim Jeram, di sini, rosak teruk akibat dipukul ribut dengan kebanyakan rumah rosak sebahagian bumbung yang diterbangkan angin, manakala alang kayu rumah jatuh ke lantai.

Nurul Fahana berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu selepas menidurkan anaknya, Muhammad Ainol Farhan Mohd Azmi, setahun 11 bulan dalam buaian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila hujan lebat disertai angin kencang menyebabkan dia pergi ke dapur untuk menadah air dari bahagian bumbung yang bocor.

“Ketika itu saya dengar bunyi bising dan ketika hendak menutup tingkap, tiba-tiba saya nampak daun berterbangan.

“Saya cuba pusing ke belakang dan nampak sebahagian rumah sudah cerah apabila bumbung dan alang kayu diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Nurul Fahana berkata, dia terus mengambil anaknya dalam buaian untuk menyelamatkan diri lari keluar.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan sebahagian barangan musnah serta basah akibat kejadian itu.

“Rumah ini pusaka peninggalan arwah tok wan dan saya tinggal di sini bersama anak serta suami, Mohd Azmi Ajin,32.

“Namun, ketika kejadian suami keluar bekerja dan tinggal kami dua beranak,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kamalruzamal Kasa, berkata pihaknya sudah menghantar anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke lokasi untuk membantu kerja pembersihan di kawasan dilanda angin kencang itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima maklumat 10 rumah di kawasan kampung itu rosak akibat kejadian berkenaan.

LIHAT video
https://youtu.be/TxCKskSU59U

Loading...