RM2 BILION DIJIMATKAN DALAM PROJEK MRT – NAJIB - pakdin.my

Kira-kira RM2 bilion dapat dijimatkan daripada kos sasaran awal projek Transit Aliran Massa (MRT), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan kos kira-kira RM21 bilion berbanding kos sasaran RM23 bilion pada peringkat awalnya.

“Namun pada hari ini, di mana semua kontrak-kontrak telah dianugerahkan dan kerja-kerja sudahpun hampir siap bagi keseluruhan laluan, kos pembinaan sebenar bagi projek ini adalah lebih kurang RM21 bilion.

“Projek MRT ini ialah lebih rendah daripada bajet dan mengikut masa ditetapkan,” katanya ketika berucap merasmikan fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen Kwasa Damansara dekat sini, Khamis.

Pada majlis pelancaran yang bersejarah itu, perdana menteri turut mengumumkan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan mulai Jumaat hingga 16 Januari 2017 sebagai hadiah kepada rakyat bersempena sambutan Tahun Baharu.

“Ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien ini,” katanya.

Menyifatkan projek MRT itu begitu dekat dengan hati beliau, Najib berkata ia mempunyai segala ciri yang menjadi teras kepada pentadbiran beliau iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Katanya, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, beliau mendengar keluh kesah rakyat dalam menangani permasalahan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

“Saya tidak mahu slogan ini menjadi retorik politik tanpa ada pengisian… sebab itu, kerajaan ingin menjadikan pengangkutan awam sebagai prioriti tertinggi,” katanya.

Najib berkata projek MRT itu juga memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada kerja pembinaan, penjanaan peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah, produktiviti dan penjimatan masa rakyat.

Katanya, projek berkenaan juga berjaya menganugerahkan 50 peratus daripada jumlah nilai kontrak kepada syarikat Bumiputera, melebihi sasaran 43 peratus yang ditetapkan di peringkat awal.

Hadir sama pada pelancaran di stesen MRT Kwasa Damansara itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp Tan Sri Dr Ali Hamsa.

20161217-najib-mrt-jimat-2bilion

UTAMABERITARM2 BILION DIJIMATKAN DALAM PROJEK MRT - NAJIB

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium