RON 97 Naik 20 Sen Tengah Malam Ini (Jumaat)

PETALING JAYA: Harga petrol RON97 akan naik 20 sen kepada RM2.70 seliter berkuatkuasa tengah malam jumaat ini.

Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti, berkata kenaikan harga itu bagaimanapun tidak membabitkan petrol RON 95 dan bahan api lain.

Zulkifli berkata, peningkatan sebanyak 20 sen itu berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia kepada AS$114 setong minggu ini berbanding AS$105 minggu lalu. “Kenaikan harga minyak mentah itu berikutan krisis di Asia Barat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Zulkifli juga berkata, harga minyak mentah dijangka terus meningkat berikutan situasi di Asia Barat itu yang mungkin berterusan.

Harga RON97 sekarang ialah RM2.50 seliter.

Kali terakhir ia dinaikkan ialah pada 4 Januari lalu iaitu sebanyak 10 sen. Sebelum itu ia telah pun mengalami kenaikan iaitu sebanyak 15 sen pada 1 Disember tahun lalu -menjadikan harganya mencecah paras RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari.

Bagaimanapun, harga minyak petrol RON 95 kekal pada paras RM1.90 seliter.

RON97 kini tidak lagi dikawal oleh kerajaan dan diapungkan mengikut harga pasaran. Walaupun ia tidak lagi di bawah kawalan kerajaan, namun kerajaan masih memberi subsidi antara 17 sen hingga 18 sen seliter.

Semalam (Khamis) dalam pertemuan dengan pengarang-pengarang kanan media, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga petrol RON95 pada waktu terdekat ini walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Katanya, tahun lalu sahaja jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk petrol dan diesel sahaja mencecah RM7.61 bilion.

Untuk tahun ini katanya, jumlah itu dianggarkan mencecah RM10 bilion dan mungkin akan naik kepada RM14 bilion seandainya kerajaan pertahankan harga RON95 pada paras sekarang untuk tempoh sepanjang tahun.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.