Sunday - July 25, 2021 @ 23:52
GAYA HIDUPAGAMA“Roti Jala, Kuah Kari”, Boleh Cari “Bukti” Lain Dr Asri?

“Roti Jala, Kuah Kari”, Boleh Cari “Bukti” Lain Dr Asri?

 

Asri_Kazim

Semalam, umat Islam di seluruh negara dikecohkan tentang dua orang ulama yang merujuk kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin, dan tokoh penceramah bebas terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias. Kita semua tahu kenapa, kan?

Ya, berkenaan sepucuk surat yang tersebar mengenai Dr Asri yang tidak bersetuju Ustaz Kazim menjadi panel Forum Perdana sempena hari Keputeraan Raja Perlis tidak lama lagi. Tidak tahulah siapa “malaun” yang sebarkan surat berkenaan.

Saya tidak pasti tentang niat sebenar pihak berkenaan menyebarkan surat Jabatan Mufti itu. Mungkin untuk mengenakan Dr Asri atau Ustaz Kazim, itu saya tidak pasti. Namun yang saya pasti, kesannya agak buruk bagi kedua pihak ulama tersebut.

Sekiranya saya memiliki surat berkenaan dan berniat untuk memberitahu sebab kepada Ustaz Kazim tentang ketidak setujuan Dr Asri untuk beliau sebagai panel, saya tidak akan sebarkan surat tersebut ke khalayak ramai.

Sebaliknya, saya akan serahkan padanya secara peribadi supaya ia tidak menjejaskan reputasi dua tokoh tersebut dan tidaklah umat Islam kecoh sebegini tentang isu ini, bukan? Kerana itulah saya katakan, pihak yang menyebarkan surat itu agak “aneh” niatnya…

Saya enggan memperlekeh mana-mana pihak, sama ada Dr Asri mahupun Ustaz Kazim. Kerana dalam pemerhatian saya, ada banyak komen dari “ulama-ulama segera” di Facebook dan laman-laman sosial mengenai isu ini. Kebanyakkannya memperlekeh mereka berdua.

Dari sudut ilmu agama, saya yakin Dr Asri dan Ustaz Kazim jauh lebih tinggi ilmu agama mereka berbanding saya. Jika tidak, takkanlah Raja Perlis perkenan Dr Asri dilantik sebagai Mufti dan takkanlah ketokohan Ustaz Kazim begitu disegani kawan dan lawan, kan?

Saya juga enggan menyentuh tentang “sejarah” Dr Asri yang sebelum ini yang agak kontroversi. Ramai yang kenal Dr Asri dan tahu sejarahnya dulu, bukan? Dan begitu juga Ustaz Kazim…

Cuma saya rasa terpanggil untuk mengulas tentang alasan yang diberikan Dr Asri untuk tidak bersetuju menjadi panel forum tersebut. Menerusi Facebooknya, Dr Asri memberikan bukti “roti jala dicicah kuah kari” untuk menolak Ustaz Kazim sebagai panel. Itu fakta.

Pada pandangan saya, alasan dan bukti itu sangat kebudak-budakkan. Satu alasan yang pada saya sangat tidak dapat diterima dan tidak logik dek akal. Satu dalil yang dangkal dari seorang mufti? Saya benar-benar hairan dengan keadaan ini.

Pada saya, Ustaz Kazim dalam ceramahnya langsung tidak menyebut ungkapan seperti “bahawa diriwayatkan oleh si polan bin si polan..” atau mengatakan kisah berkenaan sebagai hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan.

Dalam ceramah Ustaz Kazim, beliau hanya melakukan perumpamaan sahaja untuk menunjukkan betapa sederhananya Rasulullah SAW dalam menganjurkan walimah atau kenduri. Itu niat Ustaz Kazim yang sebenar.

Beliau berniat untuk memudahkan pemahaman dari sudut konsep muamalah dan akhlak Baginda SAW dengan menggunakan perumpamaan yang mudah. Takkanlah itu pun Dr Asri tidak faham? Tidak faham atau pura-pura tidak faham?

Di dalam Islam sendiri, saya kira Dr Asri sendiri tahu bagaimana dikias dan diumpamakan perlakuan zina itu seolah “jari yang dimasukkan cincin”, bukan? Dengan perumpamaan itu, apakah Dr Asri menganggap menyarungkan cincin ke jari di majlis pernikahan itu adalah satu perlakuan “zina”?

Saya yakin, umat Islam di Malaysia ini tidak bodoh seperti yang Dr Asri sangkakan. Saya yakin mereka tahu bahawa kenduri yang Rasulullah SAW anjurkan tiada “roti jala dicicah kuah kari”. Malah saya yakin, kami semua tahu “roti jala” memang tidak ada di zaman Rasulullah SAW dulu.

Sebaliknya, dengan perumpamaan itu, kami faham bahawa Ustaz Kazim menjelaskan tentang sifat zuhud dan amalan wasatiyyah Rasulullah SAW dalam menganjurkan walimah ketika hayatnya. Secara tidak langsung, maka tepatlah perumpamaan Ustaz Kazim untuk menerangkan konsep akhlak dan ajaran Rasulullah SAW itu, bukan?

Justeru itu, saya menyarankan kepada Dr Asri supaya mencari alasan atau bukti lain yang lebih konkrit untuk menyokong keputusan beliau untuk tidak bersetuju menjadikan Ustaz Kazim sebagai panel di majlis forum berkenaan.

Carilah alasan yang lebih kukuh, berasas, logik dan bersandarkan dalil-dalil naqli serta aqli yang boleh diterima oleh umat Islam di Malaysia, khususnya di Perlis yang kepingin mahu mendengar celoteh ceramah Ustaz Kazim yang terkenal itu.

Malulah jika seorang sahbibus samahah mufti yang hebat tiba-tiba mengeluarkan alasan dan bukti yang “lekeh”, bukan?

Cuma saya harap pada Dr Asri untuk mengemukakan bukti “konkrit” berkenaan selepas ini, beliau boleh terus menghubungi atau berjumpa terus dengan Ustaz Kazim. Sekurang-kurangnya tidaklah menjejaskan reputasi kedua pihak, bukan?

Bukan apa, sekurang-kurangnya nanti dapatlah Ustaz Kazim mempertahan diri dan memberi pencerahan sewajarnya kepada Dr Asri tentang ketidakfahamannya dengan pendekatan penceramah terkenal itu, terutama bab “roti jala” dan “kuah kari”, kan? Boleh Dr Asri?

Kenyataan Media Presiden ASWAJA

1. Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) melahirkan rasa kesal dengan tindakan melulu Mufti Perlis, Prof Dato Dr Asri Zainul Abidin yang menyekat pendakwah terkemuka tanah air Datuk Ustaz Kazim Elias dari menyampaikan ceramah agama di negeri itu.

2. Alasan yang diberikan kononnya DUKE menggunakan riwayat hadis palsu adalah tidak masuk akal kerana pendakwah itu hanya membuat perbandingan antara kenduri kahwin mewah sekarang dgan apa yg diamalkan Rasulullah SAW.

3. Rakaman ceramah DUKE jelas menunjukkan bahawa beliau tidak menyebut Nabi SAW melakukan Kenduri kahwin dgan roti jala dan kuah kari. Sebaliknya beliau hanya menjadikan instrumen itu sbg bahan perbandingan amalan sahaja.

4. Justeru, dakwaan bahawa DUKE pembawa hadis palsu adalah satu tuduhan yang teramat berat dan zalim. Ini kerana pembawa hadis palsu adalah perosak kpd Islam dan pengkhianat kpd Nabi SAW.Ia dikategorikan sbg jenayah berat dlm Islam. Dan di akhirat kelak dijanjikan balasan api neraka.

5. Sebagai Seorang Mufti, sepatutnya Dr Asri bersifat terbuka dan matang iaitu dgn merujuk kpd DUKE terlebih dahulu sebelum bertindak menyekat ceramahnya dan melabelkannya sedemikian melalui medium rasmi Jabatan Mufti Perlis.

6. Apakah ada rasa kurang senang dalam diri Dr Asri terhadap populariti DUKE yang semakin meningkat?

Ataupun Asri mempunyai agenda tertentu disebalik kes yg memualkan ini. Atau fahaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang disampaikan DUKE tidak sealiran dengan beliau.

7. Hasilnya ternyata tindakan salah faham yg bersifat gopoh sebegini telah berjaya menimbulkan fitnah pada agamawan, institusi Mufti dan merugikan umat Islam.

8. Inilah padahnya apabila mufti yang dilantik tidak mempunyai nilai etika kemuftian, tiada integriti dan sering teruja mencetuskan kontroversi.

9. Dr Asri dilihat pernah mengecam YAB PM yg memakai kurta sewaktu hadir majlis Thaipusam, mengkritik Sultan Johor yg hidup mewah, mencabar Mufti Kedah utk berdebat tntg Wahhabi, memperlekeh Fatwa N9 berkaitan Wahhabi,pernah ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor dan pelbagai isu lain. Tetapi apabila diajak berdebat secara ilmiah beliau kelihatan banyak menikus. Sayangnya, beliau masih dipilih sebagai Mufti.

Oleh itu, tiba masanya Majlis Fatwa Kebangsaan atau SUK mengeluarkan garis panduan bagi Mufti supaya institusi Mufti kembali dihormati dan disegani masyarakat.

Presiden ASWAJA
Zamihan Mat Zin al-Ghari

 
 
 
 

Berkaitan:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here