Bagaimanapun, menurut beliau, banyak pihak yang melabelkan rang undang-undang itu sebagai hukum hudud supaya dapat terus menyerang parti itu dan mewujudkan suasana gegak gempita dan riuh rendah seperti yang dilakukan mereka sejak tahun 1950-an.

Jelas beliau, rang undang-undang itu lebih bersifat ‘prasarana Mahkamah Syariah’ untuk membuka konsep Islam sebenar yang wajib diperbetulkan daripada pentafsiran penjajah terdahulu sehingga menimbulkan salah faham terhadap Islam.

“Mereka melabelkan semua undang-undang jenayah hukum syariah Allah daripada qisas, hudud sehinggalah takzir dan terkini Mahkamah Syariah, ke dalam bakul hudud yang sangat dibenci sehingga ke dalam lubuk hati dan ke tulang hitam.

“(Akta Mahkamah Syariah) ini sepatutnya dipinda kerana kita sudah merdeka mencecah sete­ngah abad. Tujuan penjajah ialah untuk menutup keadilan Islam secara umum dan menidakkan konsep mendidik masyarakat yang wujud dalam sistem kehakiman Islam,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pindaan yang dicadangkan itu wajib diperjuangkan semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik dan kedudukannya sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

‘‘Hanya mereka yang buta al-Quran melabelkannya sebagai hukum hudud ciptaan Pas,’’ tegas Abdul Hadi.

Katanya, Perlembagaan me­netapkan urusan agama adalah di bawah bidang kuasa raja-raja dan kerajaan negeri termasuk bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak ada kena-mengena dengan orang bukan Islam.

“Mengapa kalangan bukan Islam menentang? Ada yang Islam juga gila-gila menentang. Walaupun perkara ini di luar tajuk asas Usul Persendirian, tetapi dijadikan hujah untuk merendahkan Mahkamah Syariah yang sepatutnya dimuliakan,’’ kata beliau.