Sabah ‘goyang’ psiko Anwar – Musa Aman - pakdin.my

Musa Aman
Musa Aman

TENGAH malam Sabtu kelmarin semasa penulis duduk semeja dengan Datuk Seri Musa Aman dekat Pusat Dagangan Dunia Putra, beliau ditanya perasaannya terhadap lirik lagu yang dinyanyikan Anwar Ibrahim.

Belum pun sempat penulis menyebut sepotong lirik itu, Musa yang baru angkat sumpah Ketua Menteri Sabah untuk penggal keempat

Isnin lalu berkata:

“Oh! lirik itu ya…’tanya sama Najib, apa sebab goyang… nanti jawab Najib Sabah nak hilang’…ah! saudara (penulis) pun tahu Anwar ini psiko, berjanji bulan dan bintang.

“Sebenarnya rakyat Sabah cukup kenal dan faham perangai dia, bercakap bohong, berjanji kosong. Keputusan PRU-13 menyaksikan rakyat Sabah tidak mudah tertipu dengan janji-janji manisnya,” kata Musa, yang ketika itu baru selesai menyertai sambutan ulang tahun UMNO ke-67 di situ.

Musa percaya keupayaan Sabah mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen dan DUN banyak bergantung kepada disiplin setiap wakil rakyat Barisan Nasional yang kerap turun padang menemui dan menyelesaikan masalah rakyat. Dan bukan baru-baru ini sahaja menjelang PRU-13 digerakkan wakil rakyat negeri itu tetapi sudah dimulai sebaik-baik sahaja PRU 2008 selesai.

“Malah, kemenangan BN Sabah hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang kerap datang ke Sabah dan tunaikan janji kepada rakyat negeri ini,” kata beliau.

BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi DUN manakala bagi kerusi Parlimen menguasai 22 daripada 25 kerusi.

Bagaimanapun dalam pada itu, Musa menarik perhatian penulis bahawa Anwar bukanlah watak utama yang menjadi isu kebimbangan beliau dari hasil keputusan pilihan raya umum berkenaan.

“Tetapi pola pengundian kaum Cina. Dulu (2008) undi Cina sekitar 50 hingga 60 peratus berpihak pembangkang di Sabah ini tapi sekarang sudah mencapai 80 peratus.

“Banyak terjadi di bandar-bandar, ini mengejutkan kerana tidak pernah berlaku sedangkan kita BN Sabah mana yang tidak pernah bantu kaum Cina. Sekolah kita bantu, tokong dan peluang pekerjaan serta perniagaan pun kita bantu mereka.

“Pola pengundian ‘luar biasa’ Cina yang memihak pembangkang merupakan satu fenomena baru yang diasaskan oleh DAP, bukan disebabkan oleh faktor kaum Cina itu sendiri,” kata beliau.

Dalam PRU-13 itu, BN Sabah kehilangan 12 kerusi DUN berbanding tiga pada PRU 2008. PKR pula menembusi tujuh kawasan DUN iaitu Api-api, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Tamparuli, Klias dan Inanam. Dan DAP yang sebelum ini memiliki satu kerusi DUN, menambah empat kerusi iaitu Luyang, Kapayan, Sri Tanjong dan Likas. Parti Reformasi Sabah (STAR) pula menang kerusi tunggal di Bingkor.

Musa bagaimanapun mengingatkan betapa provokasi Anwar terutama sentimen perkauman oleh DAP kalau tidak dibendung kemungkinan dalam waktu terdekat boleh mencetuskan kacau-bilau yang tidak terduga.

“Kita bukan sahaja di Sabah malah seluruh Malaysia khuatir apabila provokasi yang terlalu kerap ini, lama kelamaan akan diterima (oleh sebahagian besar rakyat). Ini dia (pembangkang) cuba ‘pusing’ minda rakyat, ” kata beliau.

Mengenai kekalahan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, yang mengetuai Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) di kerusi Parlimen Beaufort, Musa berkata, ia jelas menunjukkan Lajim tidak ada pengaruh.

“Cuma di DUN Klias, selepas tiga kali pengiraan undi baru dia (Lajim) menang, kali pertama kira Isnin Aliasneh (calon BN) menang dan akhirnya pada kali ketiga kira, baru dia menang.

“Kita (BN) akan buat petisyen kerana dengan undi sekitar 100 sahaja dia boleh menang,” kata beliau.

Beliau turut mendedahkan realiti di sebalik penyertaan Lajim dan Datuk Seri Wilfred Bumburing (bekas BN) ke pembangkang telah mengakibatkan hubungan dalam kalangan parti-parti pembangkang di Sabah lebih berkecamuk.

Ini terutama apabila berlaku perebutan kerusi dalam PRU-13 di negeri itu melibatkan kalangan calon-calon pakatan pembangkang sesama mereka sendiri. DAP-Pas-PKR yang selain berdepan BN, terpaksa pula menentang calon parti-parti tempatan yang tidak menganggotai BN.

“Ini yang dikatakan yang dikejar tak dapat, dikendong berciciran. Di Tuaran, kita lihat perbalahan sesama PKR dalam merebut kerusi antara Ansari Abdullah dan Bumburing. Lajim pula ibarat ‘indah khabar dari rupa’, ” kata beliau merujuk kekalahan Lajim kepada Datuk Azizah Mohd. Dun yang mendapat 12,827 undi berbanding Lajim (12,154 undi).

Musa mengakui rakyat Sabah menolak pakatan pembangkang kerana tidak mahu memperjudikan nasib dan masa depan keluarga dan anak cucu mereka.

“DAP jelas sebuah parti perkauman yang berjaya menghasut rakyat Sabah supaya membenci kerajaan. Ini perkara yang kita cukup sedih kerana rakyat Sabah sudah lama mengamalkan kehidupan 1Malaysia meskipun kami datang dari pelbagai etnik, agama dan budaya.

“Cara yang dibawa DAP ini cukup berbahaya dan boleh memecahbelahkan hubungan yang sekian lama terjalin antara kaum Cina dan masyarakat bumiputera,” kata beliau.

Kepada Anwar pula, Musa berpesan:

“Dia tidak gentleman. Sejak awal lagi kita semua meminta semua pihak menerima keputusan rakyat. Ini kalau dia menang sahaja, dia akan terima.

“Cuba kita perhatikan, bukankah kita mengundi DUN dan Parlimen dalam satu kertas undi. Takkanlah bila kita menang negeri dan telah pun angkat sumpah Ketua Menteri (di Pulau Pinang) dan Menteri Besar (di Kelantan), kekalahan (pembangkang) di Pusat tak mahu terima.

“Gentlemanlah sikit Anwar, anda macam tak ada pendirian dalam soal ini.”

Ditanya apa perancangan selepas ini, Musa berkata, beliau bertekad untuk terus mendekati masyarakat Cina selain mempertingkatkan usaha memajukan kaum-kaum dan etnik lain di Sabah.

“Kita akan terus mendekati dewan-dewan perniagaan Cina. Kalau boleh kita berbincang secara terbuka, perlu ada perasaan kekitaan sesama kita.”

UTAMABERITASABAHSabah 'goyang' psiko Anwar - Musa Aman

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium