Sabah, Sarawak Mahu Pilihan Raya Umum Ke-13 Selepas Kaamatan, Gawai - pakdin.my

Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Beberapa pemimpin masyarakat dan ahli politik di Sabah dan Sarawak lebih suka jika pilihan raya umum ke-13 diadakan selepas sambutan perayaan Kaamatan dan Gawai yang masing-masingnnya jatuh pada 30-31 Mei dan 1 Jun.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berasal dari Sarawak, berkata adalah tidak bijak jika PRU diadakan semasa perayaan itu.

“Jika Sarawak dianggap simpanan tetap Barisan Nasional, janganlah adakan pilihan raya ketika itu kerana ramai yang mungkin tidak dapat mengundi.

“Tarikh 3 Jun sebagai hari mengundi, seperti yang diramalkan, memang amat tidak sesuai bagi Sabah dan Sarawak,” kata Wan Junaidi apabila dihubungi Bernama.

Gawai disambut di Sarawak manakala Kaamatan merupakan perayaan di Sabah dan Labuan. Sarawak dan Sabah serta Labuan mempunyai 57 kawasan parlimen.

Di Sarawak, pilihan raya umum akan datang hanya melibatkan 31 kerusi parlimen dan tidak kerusi Dewan Undangan Negeri kerana pilihan raya negeri itu telah diadakan pada 16 April tahun lepas.

Di Sabah, ia melibatkan kerusi negeri dan parlimen, yang masing-masing berjumlah 25 dan 60. Labuan mempunyai satu kerusi parlimen.

Presiden Persatuan Siswazah Dayak Sarawak Dr Dusit Jaul juga berharap pilihan raya tidak diadakan pada minggu terakhir Mei atau minggu pertama Jun agar tidak menjejaskan mereka yang menyambut perayaan itu.

“Pertimbangan perlu diberi terhadap mereka yang membuat persiapan untuk menyambut Gawai.

“Bukan itu saja, jika ia diadakan dalam tempoh sambutan itu, kerajaan mungkin dituduh tidak peka terhadap kebajikan suku kaum Dayak. Ini tidak baik bagi kerajaan,” katanya apabila dihubungi.

Seorang pemimpin Iban dari Sibu, Temenggong Adrian Ringgau, berkata kebanyakan anggota masyarakat Dayak, terutama yang tinggal di rumah panjang, akan mengadakan pelbagai majlis termasuk majlis paerkahwinan dan “Gawai Antu” (perayaan mengingati mereka yang telah meninggal dunia) sempena perayaan itu.

“Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam kalangan masyarakat Dayak tidak akan mencapai angka yang diharapkan sekiranya tarikh pilihan raya bertembung dengan tarikh sambutan dan oleh itu pilihan raya eloklah diadakan menjelang awal Mei atau selepas pertengahan Jun,” katanya.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan berkata pilihan raya umum tidak sepatutnya diadakan semasa sambutan Gawai atau pesta menuai yang dirayakan masyarakat Dayak.

Semasa perayaan itu, anggota masyarakat Dayak yang tinggal di bandar dan di perantauan akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bertemu sanak saudara dan keluarga.

Mawan, yang juga Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, berkata sekiranya pilihan raya umum diadakan pada tarikh itu, ada kemungkinan mereka yang pulang ke kampung halaman akan mempengaruhi penduduk rumah panjang dan kampung melalui pendapat mereka tentang isu setempat.

Setiausaha Agung UPKO dari Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau berkata tarikh sambutan dua perayaan itu perlu diambil kira dalam menentukan tarikh pilihan raya umum.

“Mei mungkin tidak sesuai, terutama di Sabah kerana Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei. Ia merupakan sambutan peringkat negeri. Oleh itu, tidak wajar pilihan raya umum diadakan dalam tempoh itu,” katanya apabila dihubungi.

Bagaimanapun, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing berkata beliau tidak fikir mengadakan pilihan raya ketika sambutan Gawai akan menjejaskan perayaan itu.

“Pilihan raya perlu cepat diadakan. Banyak perkara telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan seperti pengagihan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan kenaikan gaji penjawat awam.

“Sekiranya pilihan raya diadakan jauh kemudian, kesannya sudah hilang kerana kesan BR1M hanya mempunyai jangka hayat tiga bulan saja.

“Selepas itu, ia akan hilang. Mana-mana tarikh dalam tempoh tiga bulan ini memang baik untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.

Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak dan seorang ahli anthropologi, berkata daripada segi sosial, mengadakan pilihan raya semasa perayaan Gawai tidak menjadi masalah kerana pengundian hanya melibatkan satu hari sahaja.

Seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, yang berasal dari Sabah, berkata pemilihan tarikh pilihan raya umum tidak sepatutnya menjadi isu kerana beliau percaya rakyat sudah cukup matang untuk memahami kepentingannya.

“Terserahlah kepada Perdana Menteri bilakah beliau hendak mengadakan pilihan raya. Kalau seseorng mengatakan pilihan raya tidak sepatutnya diadakan menjelang akhir Mei atau awal Jun, ini bermakna orang itu meletakkan syarat kepada Perdana Menteri. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Kiandee berkata beliau yakin Perdana Menteri akan memilih masa paling sesuai untuk pilihan raya.

Sama ada sebelum atau selepas perayaan Kaamatan dan Gawai, seperti yang dikatakan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, yang pasti, negeri itu sudah bersedia menghadapinya pada bila-bila masa.

UTAMABERITASabah, Sarawak Mahu Pilihan Raya Umum Ke-13 Selepas Kaamatan, Gawai

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium