26.9 C
Kuala Lumpur
Monday, January 25, 2021

Sah 2 pengebom bunuh diri rakyat Malaysia

bom-bunuh-diri-isis-amirul

Dua pengebom berani mati kumpulan militan Daesh yang dipercayai membunuh lebih 30 orang dalam dua serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lalu disahkan adalah rakyat Malaysia.

Perkara ini disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Sebelum ini ada seorang rakyat kita terbabit dalam serangan bom. Sekarang 2 orang lagi. Setakat ini 3 rakyat Malaysia terbabit dalam kes serangan bom.

“Mereka ini bukan sahaja tidak takut untuk mati tetapi berhasrat melakukan sesuatu perkara yang orang tidak terfikir hendak buat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penerimaan pesawat kedua A400M dan Hangar A400M di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang dekat Petaling Jaya, Rabu.

Hishammuddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung identiti kedua-dua pengebom itu.

Sebelum ini semua media melaporkan dua rakyat Malaysia dipercayai meletupkan diri mereka sendiri, demi perjuangan bersama Daesh.

Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Raqqa, Syria, pada 29 Disember, menurut laporan itu.

Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, yang melaksanakan misi pada malam 3 Januari ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke utara Baghdad, Iraq.

Tindakan mereka ini juga membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terkejut dan terperanjat kerana mengakibatkan lebih 30 orang yang tidak berdosa terkorban.

Menerusi catatan dalam laman Facebooknya, Najib berkata tindakan dan ideologi tidak diterima di Malaysia atau Islam, dan kerajaan sememangnya komited untuk memerangi keganasan dalam semua bentuk dan penyamaran, baik di negara ini mahupun di luar negara.

“Kami akan berusaha untuk mengetahui bagaimana dan mengapa kedua-dua anak muda ini sanggup melakukan perbuatan kejam ini, dan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mengelakkan orang lain daripada berbuat demikian pada masa depan,” kata beliau.

bom-bunuh-diri-isis-rakyat-malaysia

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.