Sambutan luar jangka sesi penerangan 1MDB, TPPA

majlis-peneranga - perdana-sambutan

Kehadiran ribuan orang ramai pada majlis Penerangan Perdana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan Bajet 2016 adalah di luar jangkaan penganjur.

Majlis yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini menyaksikan semua kerusi di dalam dewan dipenuhi sehingga ada yang terpaksa berdiri bagi mendengar sesi penerangan yang bermula 8.45 pagi.

Orang ramai yang tidak dapat masuk ke dalam dewan itu pula dilihat sanggup duduk bersila di luar dewan dan menyaksikan majlis itu melalui tayangan layar putih. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang mempengerusikan majlis itu melahirkan rasa kagum dengan jumlah hadirin dalam dewan itu.

“Kalau kita tahu jumlah orang hadir akan seramai ini, kita mungkin adakan majlis ini di Dewan Merdeka,” katanya sambil meminta pihak media merakamkan segala-galanya.

Ahmad juga menyarankan agar media propembangkang untuk melaporkan penjelasan sebenar berhubung isu dibincangkan pada majlis itu. Selain isu 1MDB, majlis itu juga menerangkan isu berkaitan TPPA yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Bajet 2016 oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Majlis anjuran UMNO itu adalah lanjutan daripada siri Dialog Isu Nasional yang diadakan di seluruh negara sejak bulan lalu. Semasa sesi soal jawab, beberapa individu turut menyuarakan pandangan kenapa majlis itu tidak diadakan untuk pemimpin pembangkang dan pengkritik kerajaan agar golongan ini dapat memahami isu tersebut daripada melontarkan tohmahan yang tidak benar.

Ahmad ketika menjelaskan persoalan itu berkata bahawa majlis penerangan perdana itu terbuka kepada semua untuk menghadirinya.

Comments (No)

Leave a Reply