Sarawak sokong TPPA, kata Adenan - pakdin.my

tppa-adenan satem

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata kerajaan negeri Sarawak menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Beliau berkata setiap negara di dunia kini bertanya mengenai sistem penarafan global dan tidak lagi boleh mengasingkan diri atau akan menjadi seperti Korea Utara.

“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed (menteri perdagangan antarabangsa dan industri) mengenai TPPA.

“Dalam masyarakat terbuka yang membuka pasarannya dan mempunyai kelebihan daya saing terhadap ekonomi negara, kita tidak mempunyai pilihan dan saya rasa ini (TPPA) adalah pilihan terbaik, lebih banyak kebaikan daripada keburukan,” katanya.

Adenan berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai TPPA yang disampaikan Mustapa, turut dihadiri Kabinet Sarawak dan Anggota Dewan Undangan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Adenan berkata, “TPPA ialah perjanjian antara negara dan di bawah perlembagaan kita, pelaksanaan perjanjian ini akan memberi hak kepada kerajaan persekutuan untuk memastikan pertumbuhan yang seragam”.

Bagi menjaga kepentingan Bumiputera dalam TPPA, Adenan berkata kepentingan mereka akan dilindungi.

“Dan sudah tentu mengenai tanah NCR (Hak Adat Bumiputera) kami akan lihat sama ada ia sesuai atau tidak, tetapi saya tidak rasa TPPA akan memberi kesan kepada harga tanah NCR.

“Dalam sejarah Malaysia dari awal-awal lagi, kita adalah sebuah negara perdagangan sehingga sekarang. Kesimpulannya, kami menyokong TPPA,” katanya.

UTAMABERITASarawak sokong TPPA, kata Adenan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium