Sunday - July 25, 2021 @ 23:49
BERITADUNIA'Saya Akan Bawa Anda Pulang Dengan Selamat' - Juruterbang Germanwings

'Saya Akan Bawa Anda Pulang Dengan Selamat' – Juruterbang Germanwings

germanwing-pulang-selamat-fb

SEORANG penumpang Germanwings berkongsi pengalamannya menaiki pesawat pada Khamis lalu mengenai ucapan seorang juruterbang syarikat penerbangan itu yang menyentuh perasaan, dengan memberi jaminan akan membawa semuanya pulang dengan selamat.

Portal berita Mirror melaporkan Britta Englisch menaiki penerbangan itu dua hari selepas berlakunya nahas Germanwings yang dipercayai berpunca daripada tindakan pembantu juruterbang, Andreas Lubitz yang menghempaskan pesawat ke pergunungan Alps di Perancis, Selasa lalu sehingga mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.

Menurut Britta di laman sosial Facebook: “Pagi semalam (Khamis) pada pukul 8.40 pagi (3.40 petang waktu Malaysia), saya menaiki penerbangan Germanwings dari Hamburg ke Cologne dengan perasaan bercampur-baur.

“Bagaimanapun, kapten (juruterbang) bukan sahaja secara peribadi mengucapkan ‘hello’ kepada setiap penumpang, tetapi dia memberikan ucapan sebelum berlepas. Dia berikan ucapan di dalam kabin, bukan dari kokpit.

“Dia berucap mengenai bagaimana dirinya dan anak kapal terkesan dengan tragedi yang berlaku pada Selasa lalu. Dan mengenai bagaimana anak kapal berasa yang bukan seperti kebiasaannya namun mereka bertugas dengan rela hati.

“Dia juga berbicara mengenai bagaimana dia juga mempunyai keluarga, begitu juga anak kapal. Dan dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan dia akan pulang bersama mereka pada petang itu.

“Keadaan ketika itu (ucapan) begitu sunyi. Kemudiannya kesemua di dalam pesawat bertepuk tangan.”

Kisah pengalamannya yang diceritakan di Facebook telah dikongsi sebanyak beribu-ribu kali sejak ia dimuat naik.

Tambah Britta: “Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kapten. Dia memahami tentang apa yang kami semua fikirkan. Dan dia membuatkan saya berasa selesa mengenai penerbangan itu.”

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here