26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, January 18, 2021

Sejarah akan menghukum Anwar

Sejarah pasti akan menghukum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penderhaka paling jijik negara dan sejarah juga akan merakamkan kehebatan rakyat melawan penderhaka seperti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, dalam sejarah negara ini, tidak ada pemimpin politik yang sanggup menghina negara seperti dilakukan oleh Anwar.

Penasihat PKR itu dakwanya, adalah pengkhianat negara moden seangkatan pengkhianat silam yang satu ketika dahulu pernah meruntuhkan empayar Kesultanan Melayu Melaka.

“Orang desperado seperti Anwar akan buat apa sahaja untuk merosakkan nama negara demi menutup kesalahan dan kegagalannya. Dulu dia hina batik Malaysia di Indonesia dan dia akan guna apa saja termasuk media luar untuk terus menghina negara.

“Namun, kita jangan gusar dan bimbang. Negara dulu pernah dihina semasa awal zaman reformasi dengan serangan media luar termasuk kehadiran pemimpin Amerika Syarikat (AS) seperti Al Gore.

“Tetapi, kita buktikan pada dunia serangan seperti itu tidak menjadi kudis malah Malaysia tetap utuh dengan pemimpin dan rakyat yang setia dan menolak sebarang bentuk penderhakaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Anwar dan pihak pembangkang yang gemar menggunakan media asing untuk memburukkan nama negara.

Terbaru, lidah pengarang Wall Street Journal (WSJ) melaporkan maklumat salah berhubung perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai lalu.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula mendakwa kesalahan laporan WSJ berhubung perhimpunan haram Bersih adalah bukti terbaru Anwar dan sekutunya bersekongkol dengan anasir luar bagi memburukkan imej negara.

Beliau berkata, sememangnya Anwar adalah ‘anak emas’ kepada media asing yang mempunyai agenda jahat menaikkan pemimpin tempatan yang boleh tunduk kepada kehendak mereka.

“Ini membuktikan Anwar, pakatan pembangkang dan Bersih mengutamakan kehendak anasir luar yang telah menaja mereka agar perhimpunan haram tersebut diteruskan.

“Bantahan majoriti rakyat tempatan yang tidak mahu perhimpunan haram itu diteruskan tidak dipedulikan oleh Anwar, pakatan pembangkang dan Bersih,” katanya.

Oleh itu, katanya, jelaslah Anwar dan anasir luar saling memperguna dan dipergunakan demi menjayakan agenda jahat untuk menguasai negara biarpun melalui ‘jalan belakang’.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.