Sejuta vaksin AstraZeneca habis ditempah dalam sejam, pengguna merungut masalah sistem pendaftaran - pakdin.my

Lebih sejuta vaksin AstraZeneca bagi pusingan kedua untuk individu bawah 60 tahun yang mula dibuka jam 12 tengah hari tadi habis ditempah dalam tempoh sejam dan sistem pendaftaran juga sudah ditutup.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi Twitter berkata mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat.

“Tempahan janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca kini sudah ditutup. Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Kami ifahamkan, tempahan itu ‘laris’ dalam tempoh sejam sahaja selepas sistem itu dibuka sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun ia menimbulkan kemarahan ramai pihak disebabkan ada yang gagal membuat tempahan walaupun sudah sedia menanti sejak pagi tadi.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan untuk pusingan kedua PPVAZ yang dapat dilakukan berikutan penghantaran vaksin pada 21 Mei lalu dan satu lagi dijadualkan hujung bulan ini.

Program imunisasi kebangsaan kini memasuki fasa kedua bermula sejak 19 April lalu selepas fasa pertama pada 24 Februari lalu diberikan kepada kumpulan petugas barisan hadapan.

Dua juta daripada sembilan juta golongan sasaran untuk fasa kedua sudah mendaftar dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yakin bilangan itu akan meningkat.

Vaksin AstraZeneca pula dibuka secara pilihan kepada rakyat Malaysia selepas pelbagai dakwaan timbul mengenainya termasuk isu pembekuan darah dan keberkesanan melawan virus COVID-19.

Kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma, membabitkan tiga fasa.

Fasa pertama akan membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan, dengan program imunisasi dijadualkan tamat pada April.

Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan bermula Mei hingga Februari tahun depan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.

UTAMABERITASejuta vaksin AstraZeneca habis ditempah dalam sejam, pengguna merungut masalah sistem pendaftaran

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium