Selangor Tidak Akan Laksanakan Hudud – MB - pakdin.my

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan melaksanakan hukum hudud pada waktu ini, kata Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata, sebarang perubahan polisi berkaitan agama Islam perlu dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terlebih dahulu.

“Selangor tidak bercadang untuk laksanakan hukum hudud. Apa-apa perubahan polisi berkaitan agama Islam hanya akan dibuat selepas mendapat nasihat dan cadangan daripada MAIS.

“Setakat ini MAIS tak ada ketetapan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan Selangor akan melaksanakan hukum hudud sepertimana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada Khamis, Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tidak kisah sekiranya DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentuk negara Islam dan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu dipetik sebagai berkata, DAP pernah keluar daripada kerjasama pembangkang ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu dan menyertai semula pakatan pembangkang selepas itu.

Bagaimanapun, isu mengenai pelaksanaan hukum hudud ini menjadi semakin panas apabila Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyokong Kelantan melaksanakan hukum hudud.

Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan terkejut dengan komen Anwar itu dan mempersoalkan hasrat Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan juga hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut mengenai saranan Nik Aziz bahawa DAP boleh keluar pakatan pembangkang sekiranya tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud, Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Itu saya tak nak komen. Selangor memang tak ada cadangan untuk laksanakan hudud. Sebagai sebuah negeri yang berdiplomasi kita belum ada cadangan untuk laksanakannya,” katanya.

UTAMAPOLITIKSelangor Tidak Akan Laksanakan Hudud - MB

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium