30.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 22, 2020

Selepas Arab Spring Dan Morsi: Apakah Mesir Menuju Revolusi Sebenar ?

Egypt riot

Masyarakat antarabangsa menerima kejutan besar apabila Presiden Mesir pertama dipilih secara demokrasi, Mohamad Morsi yang baru hanya setahun menyandang jawatannya digulingkan pihak tentera negara itu pada 3 Julai.

Para pemerhati berhujah tindakan tentera Mesir yang diketuai Ketua Tentera Abdul Fatah Al-Sisi menggulingkan Morsi yang dipilih secara demokrasi adalah salah dari segi undang-undang dan etika tanpa mengambil kira bantahan lain.

Morsi adalah Presiden Mesir kelima, yang juga orang awam serta pejuang Islam pertama menyandang jawatan itu.

Perkembangan itu membangkitkan persoalan sama ada apa yang berlaku selari dengan aspirasi untuk mewujudkan demokrasi, kestabilan dan keamanan di Mesir, negara yang tersohor dengan piramid serta budaya purbanya.

Duta Mesir ke Malaysia, Mohamed Saad Ebeid yang berkongsi pandangan berhubung perkembangan di negaranya berkata, rakyat negara itu mahu melihat perubahan yang pantas.

DI MANA SILAPNYA?

Menurut beliau, rakyat Mesir mahu kerajaan menyegerakan perubahan selepas bertahun-tahun kegagalan demokrasi, ketaksamaan sosio-ekonomi, rasuah serta penyelewengan lain yang menjadi punca mereka memberontak sebelum itu.

Ebeid berkata, Morsi tidak memahami berapa kuatnya tuntutan daripada rakyat bawahan supaya kerajaan menyingkirkan amalan terdahulu seperti menyekat kuasa politik dalam pentadbiran negara itu.

Rakyat Mesir juga tidak senang dengan langkah Morsi memberi lebih kuasa kepada diri sendiri pada tahun lepas serta menggugurkan banyak kuasa kehakiman.

“Ini antara kesilapan besar yang dilakukan regim. Rakyat biasa merasa regim baharu itu tidak mengambil kira mengapa mereka bangkit menuntut demokrasi yang dianggap satu tuntutan yang murni,” katanya, dengan menekankan bahawa Mesir sudah berubah selepas revolusi Januari 2011, yang secara meluasnya dikenali sebagai ‘Arab Spring’.

“Rakyat Mesir tidak bersedia melepaskan impian mereka selepas apa yang mereka lakukan semasa revolusi. Mereka mahukan demokrasi tulen, mereka mahu lihat peningkatan dalam taraf hidup dan masa hadapan yang lebih baik untuk anak mereka. Itu yang mereka mahu lihat dalam tempoh setahun pemerintahan Ikhwanul Muslimin”, jelasnya.

PENYINGKIRAN MORSI

Morsi diguling selepas beliau enggan mematuhi tempoh akhir yang ditetapkan pihak tentera untuk meletak jawatan ekoran demonstrasi besar-besaran sejak 30 Jun, dengan rakyat menuntut diadakan pemilihan awal Presiden.

Ramai yang menyokong pemimpin Ikhwanul Muslim mengutuk tindakan Jeneral Al-Sisi, dan menyifatkannya sebagai rampasan kuasa tentera di mana mencetuskan semula pertempuran dan kematian di jalan raya.

Hampir 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pasukan tentera dan penyokong Presiden yang digulingkan sejak 14 Ogos.

Ia berlaku apabila pihak tentera bertindak menyuraikan dua khemah penunjuk perasaan terdiri daripada penyokong Morsi di Kaherah yang mengakibatkan beratus orang terkorban dan mencetuskan keganasan.

Menurut Laporan Arab Network for Human Rights Information, sewaktu tercetusnya revolusi Arab Spring, seramai 841 orang terbunuh dalam protes yang menggulingkan Hosni Mubarak.

Berdasarkan perangkaan rasmi, senarai itu tidak termasuk 26 anggota pasukan keselamatan yang turut terbunuh.

KRISIS POLITIK DAN AGAMA

Ebeid turut menegaskan bahawa krisis yang berlaku adalah isu dalaman Mesir melibatkan pandangan politik yang berbeza dan seharusnya tidak dianggap sebagai perang agama.

“Ianya tidak lebih daripada isu politik tetapi ada pihak yang cuba menjadikannya sebagai isu Islam.

“Pejuang-pejuang Islam mahu menunjukkan seolah-olah ada peperangan antara Islam dan penentangnya. Ini tak betul. Saya mahu menekankan lagi dan lagi kerana itu adalah tanggapan salah, dan boleh menimbulkan salah faham akan keadaan ini”, jelasnya.

Menurut Ebeid, sesetengah pihak terlepas pandang fakta Ikhwanul Muslimin telah diberi peluang untuk mengambil langkah dan bertindak balas kepada ketidakpuasan hati sebahagian besar masyarakat terhadap dasar Ikhwanul Muslimin dan Morsi ketika beliau menjadi Presiden.

Beliau berkata terdapat cubaan untuk menunjukkan seolah-olah tentera menentang kerajaan yang sah, tanpa menghiraukan jutaan rakyat Mesir yang mahukan perubahan regim.

“Apa pun yang dilakukan penunjuk perasaan pada revolusi 30 Jun, sebahagian besar masyarakat Mesir melahirkan hasrat untuk melihat perubahan selepas mereka sedar presiden tidak mengotakan janji terutama jangkaan tinggi mereka ekoran revolusi Januari 2011”, tambah beliau.

KEPIMPINAN YANG KELIRU MENCETUS RAMPASAN KUASA

Sementara itu, Presiden International Movement for A Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar berpandangan bahawa Morsi, Ikhwanul Muslimin dan sekutunya tidak menjalankan tugas yang baik semasa memegang tampuk pemerintahan.

“Mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada ekonomi, sebaliknya memberi keutamaan kepada perkara yang lain”, katanya.

Menurut Muzaffar terdapat ketidaktentuan dan kekeliruan dalam dasar kerajaan dan ini mengukuhkan ‘tangan mereka’ yang mahu menyingkir kepimpinan Morsi, kerana ketidakcekapannya dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun, beliau berpendapat penyingkiran Morsi adalah salah dari segi perundangan dan etika.

“Beliau adalah Presiden yang dipilih secara demokrasi dan jika ada yang mahu menyingkirkannya, ia harus dibuat menerusi peti undi, bukan rampasan kuasa yang didokong tentera”, katanya.

Muzaffar berkata demikian pada forum antarabangsa mengenai “Kejatuhan Morsi dan Masa Hadapan Mesir” di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini baru-baru ini.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai “rampasan kuasa” terhadap presiden yang dipilih secara demokrasi.

Parti Morsi, katanya, Muslim Brotherhood’s Freedom and Justice Party, memenangi undi majoriti dalam pilihan raya parlimen pada April 2012 dan pungutan suara Disember tahun itu, yang mana memberikan parti itu lebih kewajaran untuk memerintah.

KEBANGKITAN GENERASI BARU

Penulis yang turut berpeluang mendapatkan pandangan Profesor Sains Politik Universiti Kaherah, Mohammad E Selim dimaklumkan bahawa revolusi pertama pada 2011 melihat kebangkitan generasi baru, atau belia berusia antara 20 dan 30 tahun, menunjuk perasaan di jalanan.

“Kemampuan mereka melancarkan pergerakan belia untuk menumbangkan regim yang hampir melumpuhkan Mesir adalah sesuatu yang memeranjatkan”, katanya.

Beliau menyatakan golongan belia itu hanya mahukan masa hadapan yang lebih baik dalam demokrasi serta pembangunan dan percaya Mesir perlu kembali memainkan peranan utama mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Barat.

Apa yang berlaku di Mesir ini sebenarnya adalah rentetan apa yang berlaku di Tunisia.

Revolusi serta tentangan meletus di Tunisia apabila Mohamed Bouazizi bertindak membakar dirinya pada 17 Dis, 2010 sehingga menyebabkan penyingkiran Presiden Zine El Abidine Ben Ali selepas 28 hari berlaku demonstrasi.

Api revolusi kemudiannya merebak ke Mesir, Libya dan Syria.

Rakyat Mesir, yang terpukau dengan kejayaan revolusi Tunisia menunjuk perasaan di jalanan pada 25 Jan, 2011, turut mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut Mubarak dan regimnya meletak jawatan.

Selepas 18 hari iaitu pada 11 Feb, Mubarak meletak jawatan setelah memerintah Mesir secara diktator selama 30 tahun.

Bagi kebanyakan pemerhati di seluruh dunia, penyingkiran Mubarak dilihat sebagai kejayaan revolusi rakyat Mesir menamatkan rasuah dan penindasan untuk menuju kebebasan dan demokrasi.

Pengarah Eksekutif Serantau International Institute of Islamic Thought (IIIT), Jordan, Dr Fathi Malkawi memberitahu penulis dalam wawancara pada tahun lepas bahawa matlamat pergerakan revolusi rakyat Mesir tercapai dalam erti kata rakyat negara itu berjaya membebaskan negara daripada cengkaman rasuah dan pemerintahan kuku besi.

Duta Ebied bersetuju dengan pandangan Dr Malkawi. Beliau mengakui bahawa selepas Mubarak meletak jawatan keadaan di Mesir banyak berubah di mana rakyatnya semakin lantang bersuara dan berani membuat pelbagai tuntutan.

KEMBALIKAN DEMOKRASI KE MESIR

Tahun depan, mereka inilah yang sekali lagi akan menentukan siapa bakal pemimpin Mesir apabila diadakan pilihan raya.

Mengulas perkara ini, Mohammed E. Salim berkata draf Perlembagaan Mesir yang dipinda sedang dimuktamadkan. Pungutan suara mungkin diadakan Mac depan untuk mendapatkan kelulusan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa sebaik sahaja perlembagaan yang dipinda itu dikuatkuasakan, rakyat Mesir akan melalui pilihan raya parlimen dan presiden.

“Rakyat Mesir sudah bosan dengan keganasan dan mahu meneruskan kehidupan biasa mereka,” katanya.

Sementara itu, masyarakat antarabangsa menunggu dengan penuh debaran untuk melihat Mesir betul-betul menyelesaikan krisis yang dihadapinya supaya negara ini kembali aman dan stabil serta memainkan peranan penting mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Barat.






Berita Berkaitan

Gelombang kedua COVID-19, Perancis isytihar darurat, kuat kuasa perintah berkurung

PARIS -- Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Rabu mengumumkan perintah berkurung waktu malam dikuatkuasakan...

Gagal sekat kandungan sensitif, Thailand ambil tindakan terhadap Facebook dan Twitter

BANGKOK ― Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand memfailkan aduan kepada polis jenayah siber...

Pakar British, Australia maut ketika mematikan bom

HONIARA (PULAU SOLOMON): Dua pakar pemusnah bom dari Britain dan Australia maut dalam cubaan...

Pemandu ambulans rogol pesakit COVID-19 dalam perjalanan ke hospital

KERALA: Seorang pemandu ambulans di India ditahan selepas didakwa merogol pesakit COVID-19 di daerah...

Komen

..

Dah memang cara Mahathir dari dulu, Najib beritahu Ram Karpal

Ahli Parlimen DAP Ramkarpal kata dia kesal pernah kerjasama dengan Tun Mahathir. Ramkarpal juga dakwa Tun Mahathir telah musnahkan sistem kehakiman untuk penjarakan ramai orang...
993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,359PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan