Shafee Abdullah kekal ketuai pasukan pendakwa kes liwat Anwar

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Ketua Pembangkang gagal lagi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan terus mengetuai pasukan pendakwa dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dibicarakan 28 Oktober ini.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar bagi pengisytiharan pelantikan Muhammad Shafee bagi mengetuai pendakwaan dalam kes liwatnya adalah tidak sah.

Penal lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria di Putrajaya tengahari Selasa sebulat suara menolak permohonan kali ketiga sekaligus Anwar tidak boleh merayu lagi untuk menggugurkan Shafee.

Panel turut dianggotai Hakim Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.

Tun Ariffin sewaktu membacakan keputusan berkata, peguam Anwar, Tommy Thomas mengemukakan dua alasan dalam hujah mereka iaitu Shafee adalah Pengerusi Suruhanjaya Siasatan SUHAKAM yang mendapati Supt (B) Jude Blacious Pereira, antara saksi kes liwat Anwar dianggap tidak boleh dipercayai namun panel mendapati tiada pertalian antara kedua-dua kes.

Alasan kedua ialah denda RM5,000 berhubung salah laku disiplin yang dikenakan Majlis Peguam terhadap Shafee namun tidak digugurkan daripada senarai daftar peguam.

Ketua Hakim Negara dalam keputusannya menyebut bahawa tidak berlaku ‘conflict of interest’ dalam kedua-dua hujah terbabit kerana alasan hujah pertama tidak cukup kuat untuk menjejaskan kelayakan Shafee manakala kes denda juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengenepikan hak Shafee sebagai Timbalan Pendakwaraya.

“Alasan yang terpakai oleh pemohon bukan alasan yang kukuh untuk melucutkan kelayakan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya,” kata Ariffin.

“Tak boleh rayu lagi.. ia ternoktah di sini,” kata Shafee selepas keputusan itu diumum.

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara “fiat” (kebenaran) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Anwar pada mulanya mencabar kesahihan perlantikan Shafee di bawah Kanun Prosedur Jenayah tetapi permohonannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan 17 September tahun lalu manakala permohonan kedua untuk melucutkan kelayakan Shafee berdasarkan akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim juga ditolak Mahkamah Rayuan 20 Disember lalu.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.