Shuib janggal uruskan anak-anak, perlu cari pembantu rumah - pakdin.my

Sejak kematian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada pagi Isnin lalu, pelawak dan usahawan, Shuib mengakui dirinya mengalami kejanggalan dalam banyak hal terutama bab menguruskan anak-anak.

Ujar Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, dia boleh menguruskan kehidupannya sekarang, namun menjadi agak keliru apabila menyentuh tentang perihal menguruskan anak-anak kerana sebelum ini arwah isteri dan pembantu rumah yang melakukannya.

“Bab anak-anak ini yang buat saya macam pelik sikit. Kadang-kadang mulut pun masih terpanggil nama pembantu rumah.

“Tadi (semalam) tengah cari jubah dan baju anak-anak, saya terpanggil namanya sedangkan dia (pembantu rumah) dah meninggal dunia. Sebab saya dah biasa bergantung dengan bantuannya sebelum ini,” jelasnya.

Katanya lagi, dia ada berbual dengan komposer, Ajai yang pernah menduda dan menasihatinya supaya menyediakan modul sendiri untuk anak-anak.

Walaupun begitu, Shuib sebenarnya sangat bersyukur dengan pertolongan Allah SWT yang memudahkan banyak perkara dalam hidupnya sekarang.

“Kalau nak disenaraikan kawan-kawan yang tawarkan untuk menghantar makanan, memang tak terkira antaranya Sharnaaz Ahmad dan Alif Satar.

“Sehinggakan mereka kata bagi isyarat saja nak makan, makanan akan sampai, terasa nak makan apa, makanan pasti sampai.

“Namun, dah seminggu selera makan saya tiada sebab hidung belum berapa okay dan tak dapat cium bau,” katanya selepas majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk arwah Siti Sarah yang berlangsung secara virtual, malam tadi.

Dalam masa sama, Shuib mengakui berlaku perubahan kepada anak-anaknya sekarang apabila lebih mendengar kata.

“Alhamdulillah, mereka ikut cakap. Sebelum ini saya penat jerit-jerit. Sekarang sekali cakap sahaja, semua akan ikut.

“Sekarang, saya cakap pada mereka (anak) saya banyak benda nak fikir dan buat. Jadi, tolong jangan bagi saya stres (tekanan). Alhamdulillah mereka bagi yang terbaik.

“Berkenaan penjagaan mereka selepas ini, saya lega kerana adik ipar dan mertua tinggal berdekatan. Jadi, tiada masalah bab ini apabila saya kembali bekerja nanti,” katanya yang juga merancang untuk mencari pembantu rumah baharu, menggantikan pembantu rumahnya yang telah meninggal dunia akibat Covid-19. – K! ONLINE

UTAMAGAYA HIDUPShuib janggal uruskan anak-anak, perlu cari pembantu rumah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium