26.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 23, 2021

Siasat kelompok pemikiran liberal dalam PAS

majlis ulama pas

Dewan Ulama Pas akan membuat kajian baharu terhadap tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara parti itu dengan sekutu pakatan pembangkang.

“Perlu diingatkan kepada seluruh ahli Pas, di kala kita bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala’ (ketaatan) kepada rakan tahaluf. Kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengetepikan dasar Pas,” kata Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yaakob pada majlis Multaqa Ulama Semalaysia II, di Serdang, Selangor, Sabtu.

Menurutnya, Allah membenarkan pihak Islam untuk memutuskan tahaluf siyasi yang telah dirosakkan oleh rakan kerjasama jika berlaku unsur pengkhianatan.

Dalam pada itu, Dewan Ulama PAS Pusat katanya, menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli parti itu yang terbabit dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA).

Ia kerana, banyak kenyataan dikeluarkan PASMA dianggap jelas menyerang dan melanggar dasar PAS malah lebih buruk apabila turut menghina ulama serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“PASMA secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan Presiden sendiri meminta ahli PAS tidak terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Ini jelas satu usaha merosakkan PAS dan menghancurkan dari dalam serta memecahbelahkan PAS,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang membuat dakwaan cubaan menggulingkan Abdul Hadi agar membuat laporan disiplin supaya satu siasatan dalaman boleh dilakukan.

Cubaan yang didedahkan menerusi beberapa komunikasi melalui WhatsApp dan didalangi pemimpin tertentu PAS Pusat jelas mahu menjatuhkan Abdul Hadi melalui cara yang tidak syarie.

Menurutnya, ketiadaan laporan disiplin akan hanya mengundang budaya tuduh menuduh yang tidak berkesudahan dan Majlis Syura Ulama serta Jawatankuasa PAS Pusat menerusi Jawatankuasa Disiplin atau pembentukan jawatankuasa khas yang tidak dianggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat perlu menyiasat dakwaan berkenaan.

Sebahagian ahli PASMA katanya, jelas tidak berpuas hati dengan kehendak Kerajaan Kelantan yang mahu melaksanakan Kanun Jenayah Syariah pada tahun ini.

Pemikiran liberal yang merosakkan akidah tegasnya, semakin menular di kalangan ahli PAS yang menyokong PASMA, malah dilihat sanggup taat setia kepada pemimpin parti lain namun tidak kepada Abdul Hadi.

Menurutnya, golongan terbabit mencari kemenangan bukan dengan mengikut manhaj yang diredai Tuhan berdasarkan kaedah syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun ia berlawanan dengan al-Quran dan hadis.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.