Sidang DUN Melaka: Dira dilantik Timbalan Speaker wanita pertama #pakdin.my

Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas hari ini menyaksikan Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai ‘Dira’ dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN, sekali gus menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan berkenaan.

Dira yang merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin, sebelum ini memenangi kerusi DUN Rim selepas kali pertama mempertaruhkan nasib pada PRN Melaka lalu.

Mula bergiat aktif dalam dunia politik sejak tahun 2015, beliau juga merupakan pemegang Sarjana Dasar Awam Universiti Malaya.

Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Melaka yang sebelum ini dijadual berlangsung sehingga Khamis ini diubah kepada sehari bagi pelaksanaan perlantikan Speaker dan Timbalan Speaker, angkat sumpah barisan ADUN dan pembentangan Bajet 2022 negeri Melaka.

Sementara itu, veteran politik yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ibrahim Durum dilantik sebagai Speaker DUN.

Perlantikan itu bagi menggantikan Datuk Ab Rauf Yusoh yang memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November lalu.

Cadangan melantik Ibrahim itu dikemukakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum mendapat sokongan majoriti 15 ADUN yang lain.

The post Sidang DUN Melaka: Dira dilantik Timbalan Speaker wanita pertama first appeared on BN News Online.Original Article

Berkaitan