Singapura penjara rakyat langgar peraturan jarak sosial

SINGAPURA: Individu yang didapati melanggar peraturan penjarakkan sosial yang dilaksanakan Singapura boleh dipenjara bermula hari ini selepas republik itu menjadikannya sebagai satu kesalahan jika ada individu didapati sengaja mendekati orang lain sebagai sebahagian pertahanannya memerangi Covid-19.

Singapura mendapat pujian antarabangsa kerana pendekatannya yang mantap dalam menangani virus itu, termasuk menggunakan penyiasat polis dan kamera keselamatan untuk membantu mengesan rakyat yang dikesan menjadi pembawa virus tersebut.

Sebagai negara yang memiliki kepadatan penduduk tertinggi di dunia, Singapura mengumumkan langkah penjarakkan sosial yang lebih ketat seperti menutup bar, menghadkan perhimpunan sehingga 10 orang di luar kerja dan sekolah serta larangan mengadakan acara besar.

Individu yang sengaja duduk kurang 1 meter daripada orang lain di tempat awam atau di tempat duduk yang ditetapkan atau beratur kurang 1 meter daripada orang lain, akan didakwa melakukan jenayah.

Pesalah akan didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga 6 bulan, atau kedua-duanya.

Peraturan itu boleh digunakan sehingga 30 April, boleh digunapakai terhadap individu dan perniagaan.

Singapura terkenal dengan peraturannya yang ketat: denda boleh dikenakan untuk pelbagai kesalahan termasuk memberi makan burung atau terlupa membersihkan tandas awam.

Sesetengah negara termasuk Itali, Britain dan New Zealand melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya, tetapi Singapura mengelak daripada melaksanakan langkah tersebut. Pihak berkuasa berkata langkah lebih drastik mungkin diperlukan jika warganya tidak mengambil serius penjarakkan sosial.

Jumlah kes Covid-19 Singapura meningkat kepada 52 menjadi 683 kes semalam, dengan 2 kematian direkodkan.