Sistem Pemilihan Parti Rintis Era Baharu Umno - pakdin.my

UMNO_logo

Era baharu pemilihan Umno akan bermula, merealisasikan transformasi politik yang diperkenalkan Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bahang pemilihan parti terbesar orang Melayu kian panas dengan berakhirnya mesyuarat peringkat cawangan esok, dan disusuli persidangan bahagian bagi memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian dan pusat.

Mulai hari ini juga mereka yang bercita-cita untuk memegang jawatan-jawatan dalam parti boleh mengisi borang dan mendaftar menjadi calon. Mereka mesti menyerahkan borang pencalonan bagi pemilihan sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri – pada 21 Sept manakala bagi peringkat pusat pada 28 Sept.

Sistem pemilihan baharu Umno, yang pertama kali dilaksanakan, membolehkan siapa jua anggota Umno dengan kelayakan minimum sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun layak untuk bertanding di peringkat bahagian.

Bagi jawatan peringkat pusat sama ada Anggota Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden, Timbalan Presiden dan waima Presiden sekalipun, kelayakan minimum adalah menjadi ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama sepenggal.

Sistem pemilihan ini mengadaptasi sistem ‘Electoral College’ yang menggabungkan sistem pemilihan dari Amerika Syarikat dan United Kingdom. Beberapa persoalan timbul di minda masyarakat tentang bagaimana ia dilaksanakan dan bagaimana ia dikatakan mampu menyuburkan demokrasi dan telus?

PERBEZAAN SISTEM

Menjelaskan gambaran proses pemilihan itu, Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman berkata banyak perbezaan dapat dilihat pada sistem pemilihan ini.

Paling utama sistem baharu ini akan menyaksikan lebih ramai anggota parti iaitu 146,500 perwakilan terlibat secara langsung memilih kepimpinan bahagian dan MT. Umno mempunyai 3.3 juta anggota.

Beliau berkata perwakilan daripada cawangan, yang sebelum ini hanya menentukan kepimpinan bahagian, kini turut diberi peluang memilih kepimpinan peringkat pusat.

Berbeza dengan sistem lama, hanya 2,500 perwakilan layak mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti.

“Sebenarnya di bawah perlembagaan baharu, kami ada konsep keterbukaan dan tak rigid (ketat) sangat… katakan dulu ada halangan untuk dapat pencalonan untuk bertanding di bahagian atau pusat, sekarang dah tak ada, cuma yang diperlukan ialah kelayakan daripada segi keahlian dan jawatan di bahagian,” katanya dalam satu temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Sebelum pindaan perlembagaan parti pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno.

Misalnya untuk jawatan Presiden sebanyak 30 peratus atau sokongan 57 bahagian, Timbalan Presiden (20 peratus atau 38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus atau 19 bahagian), anggota MT (5 peratus atau 10 bahagian), Ketua Pemuda dan Ketua Wanita (masing-masing 20 peratus atau 38 bahagian) dan Ketua Puteri satu peratus atau dua bahagian.

CARA PEMILIHAN

Hamidah, yang akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng pada pemilihan kali ini, berkata kira-kira 80,000 perwakilan pergerakan itu bakal menghadiri persidangan sayap bahagian pada 12 Okt dan masing-masing akan dibekalkan dua kertas undi untuk memilih barisan kepimpinan di peringkat bahagian dan sayap pusat.

Wanita Umno mempunyai 1.3 juta anggota.

Katanya kertas undi pertama adalah untuk memilih ketua sayap, naib ketua dan barisan Exco sayap peringkat bahagian manakala satu lagi kertas undi untuk memilih barisan kepimpinan sayap peringkat pusat.

Beliau menjelaskan selepas menghadiri persidangan bahagian bagi sayap masing-masing, mereka yang dipilih menjadi Ketua Wanita, Puteri, Pemuda, naib-naib ketua, setiausaha dan ketua-ketua cawangan serta dua perwakilan yang dipilih daripada cawangan kemudiannya akan ke persidangan bahagian pada 19 Okt.

“Pada mesyuarat bahagian, mereka (perwakilan) akan memilih kepimpinan bahagian dan MT. Mereka akan diberikan dua kertas undi iaitu satu kertas undi untuk memilih ketua bahagian, naib ketua serta AJK dan satu lagi untuk pilih presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MT,” katanya.

PENGIRAAN

Hamidah berkata pengiraan pemilihan hanya dibuat di peringkat bahagian manakala ibu pejabat Umno menjadi pusat penjumlahan undi dan mengumumkan secara rasmi keputusan pemilihan.

“Pada 12 Okt, sayap bahagian seluruh negara bersidang serentak. Pengiraan akan dibuat di bahagian masing-masing untuk mengira kepimpinan bahagian dan Exco pusat,” katanya.

Beliau menjelaskan satu bahagian akan dikira sebagai satu undi dan calon yang menang hanya akan menerima maksimum 191 undi.

“Katakanlah (Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) menang 500 undi dan lawan dia 300 undi, jadi ia akan dikira sebagai satu undi. Satu bahagian dikira sebagai satu undi sahaja. Dulu beribu undi sekarang maksimum 191 undi,” katanya.

Hamidah berkata sekiranya berlaku kedudukan seri melibatkan banyak calon, contohnya jawatan MT yang memerlukan 25 orang sahaja, maka jumlah undian perwakilan atau undi popular dikira untuk menentukan kemenangan seseorang calon.

“Kita ada ketua tempat mengundi yang akan melaporkan siapa menang dan kita jangka keputusan mungkin dalam tempoh 24 jam. Ibu pejabat sahaja akan umumkan siapa calon yang menang. Jika berlaku kiraan semula undi, ia dibuat di bahagian.”

DEMOKRASI DAN KETELUSAN

Berhubung ketelusan pemilihan kali ini yang antara lain bertujuan menghapus politik wang, Hamidah berkata kalau dahulu kepimpinan Wanita Umno dipilih antara 800 sehingga 1,500 perwakilan tetapi kini kira-kira 80,000 perwakilan.

“Ini jelas bahawa suara akar umbi lebih didengari dan lebih mencerminkan hasrat pemilihan akar umbi.

“Agar sukar kalau dulu dikatakan setiap perwakilan itu dibayar sejumlah wang bagi mengundi pucuk pimpinan parti, tetapi kali ini kalau anda nak, anda bayarlah 80,000 perwakilan (untuk Wanita) dan 146,500 perwakilan (pusat) itu. Siapa yang mampu? Maka sudah tentu ada ketelusan pemilihan kali ini,” katanya.

UTAMAPOLITIKSistem Pemilihan Parti Rintis Era Baharu Umno

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium