Siti Nurhaliza antara yang didenda langgar peraturan COVID-19

Siti Nurhaliza di majlis tahnik anak keduanya Muhammad Afwa pada 19 April. (Gambar: Instagram/ctdk)

SHAH ALAM: Penyanyi terkenal Malaysia Siti Nurhaliza dan suaminya Khalid Mohammad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 (S$3,200) kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengadakan majlis tahnik anak mereka awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata kompaun sebanyak RM2,000 (S$640) setiap seorang turut dikenakan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal serta tiga orang anak Khalid.

Ketua Polis, Arjunaidi semasa sidang media dalam talian berkata kesemua mereka dikenakan kompaun atas kegagalan memastikan penjarakan fizikal ketika majlis berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap penganjuran majlis tahnik anak lelaki penyanyi itu yang didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha sebelum ini berkata, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 susulan satu laporan polis dibuat berkaitan isu tersebut.

– BERNAMA/TQ/tq

Berkaitan