SKANDAL FOREX: DAKWAAN MAHATHIR TIDAK JEJASKAN EKONOMI NEGARA ADALAH TIDAK BENAR - pakdin.my

20161206-soros-mahathirDakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM), akibat aktiviti perdagangan mata wang antara tahun 1991 hingga 1993, tidak menjejaskan kedudukan kewangan dan ekonomi negara adalah tidak benar.

Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba berkata, kesan kerugian melibatkan sejumlah AS$10 bilion (RM44 bilion) itu tidak menampak­kan kesan ketara dalam tempoh yang singkat, sebaliknya dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, adalah sesuatu yang mustahil jika kerugian sebesar itu tidak memberi sebarang kesan atau tidak menjejaskan kedudukan kewangan dan ekonomi negara.

“Paling ketara yang mungkin berlaku kesan daripada kerugian yang dialami ialah kejatuhan nilai mata wang dan ada antara rizab BNM yang terpaksa ‘dilepaskan’ bagi menampung semula kerugian tersebut. Mungkin kesannya tidak nampak pada ketika itu, disebabkan ada pihak-pihak yang bijak melindungi, kemerosotan ekonomi dunia berlaku pada tahun 1998, namun itu mungkin satu kebetulan dan kesan itu barangkali telah mula dirasai pada tahun tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid baru-baru ini bahawa BNM mencatat kerugian RM44 bilion menerusi kegiatan perdagangan mata wang sepanjang tahun 1991 hingga 1993 yang jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan ketika itu.

Pada 3 April 1994, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion oleh BNM dalam transaksi perdagangan wang asing pada tahun 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewa­ngan negara.

Dalam pada itu, Presiden Jari­ngan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memandang serius dan mengambil tindakan segera bagi mengenalpasti dalang di sebalik isu tersebut.

“Pihak berkuasa perlu segera ambil langkah proaktif terhadap isu ini kerana ia melibatkan sebuah institusi kewangan terbesar di negara ini, isu ini bukan isu biasa kerana ia melibatkan sejumlah wang yang besar sehingga puluhan bilion.

“Dia pasti tahu yang dia sudah salah menggunakan kuasa dan wang negara tanpa mendapatkan kelulusan daripada Parlimen terlebih dahulu, ini ditambah dengan simptom berdiam diri yang dilakukannya ketika ini bagi membiarkan perkara ini dihentikan begitu sahaja,” katanya.

Kata beliau, desakan demi desakan perlu dilakukan agar Dr. Mahathir dan pihak-pihak terlibat tampil menjelaskan perkara sebenar.

Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali berkata, Dr. Mahathir perlu bersikap adil terhadap isu kerugian BNM dengan memberi penjelasan sewajarnya.

“Walaupun perkara ini telah lama berlaku semasa di bawah pentadbirannya, tetapi dia perlu faham bahawa dia tidak akan selamanya me­mimpin negara dan lama kelamaan akan terdedah juga.

“Seperti mana dia percayakan sumber luar dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dia perlu bersikap adil terhadap pendedahan isu kerugian BNM ini dengan menjelaskan perkara yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Ahmad Yaacob berkata, kerugian terlalu besar dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang siasatan.

“Rakyat wajar tahu punca dan ke mana hilangnya wang tersebut, hal ini perlu dijelaskan agar dapat menjadi pengajaran di masa depan,” katanya.

UTAMAEKONOMISKANDAL FOREX: DAKWAAN MAHATHIR TIDAK JEJASKAN EKONOMI NEGARA ADALAH TIDAK BENAR

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium