SKMM Digesa Bertindak Tegas Terhadap Blogger Sebar Fitnah

Seorang bekas pembantu kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap penulis-penulis blog yang menyebarkan fitnah melalui internet.

Anuar Shaari, yang kini seorang aktivis masyarakat berkata beliau juga kecewa dengan SKMM yang disifatkannya lembap dan tidak proaktif dalam penguatkuasaan terhadap isu-isu sedemikian, seperti dalam artikel fitnah pembelian cincin belian RM24 juta oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, kelewatan SKMM bertindak telah menyebabkan kerosakan imej kepada mereka yang terlibat kerana ramai telah terpedaya dengan artikel tulisan blogger Badrul Hisham Shaharin (Che’gu Bard) itu, walaupun ia tidak benar.

“Saya berpendapat SKMM tidak memainkan peranan yang sepatutnya. Jadi masyarakat kita tidak takut untuk sebarkan fitnah di laman web kerana mereka tahu tidak ada tindakan yang akan diambil terhadap mereka,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas mengenai isu cincin belian tersebut, Anuar berkata ia sengaja dibuat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anuar yang telah keluar dari parti PKR pada tahun 2007 berkata beliau telah mengetahui kepalsuan maklumat artikel itu ketika baru disiarkan Che’gu Bard pada 16 Julai dan beliau telah mencabar Che’gu Bard untuk membuktikan bahawa dakwaannya benar.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.