Soal Jawab Sidang Media Mengenai Operasi Mencari #MH370 – 28/03/2014 (video) - pakdin.my

MH370-qa-280314

Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 hari ke-21 memasuki fasa baru apabila data terkini menunjukkan bahawa pesawat itu terbang pada kelajuan yang tinggi berbanding jangkaan awal. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia membuktikan pesawat itu menggunakan lebih banyak minyak dan tidak mampu terbang lebih jauh. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Dato’ Azharuddin Abdul Rahman.

Berikut soal jawab dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

 

Soalan: Apakah komen mengenai keluarga penumpang china minta Beijing membuat inkues terhadap insiden MH370?

Hishammuddin: Kita sentiasa menjalin kerjasama erat dengan Beijing. Kita faham emosi sekarang tinggi, sebab itu pasukan taraf tinggi yang sekarang berada di Beijing berusaha untuk mendekati keluarga secara berterusan, lebih-lebih lagi masih belum ada pengesahan mengenai serpihan yang dikesan sama ada mempunyai kaitan dengan MH370 atau tidak.
Soalan: Apakah petunjuk baru yang membawa kepada kawasan carian baru, adakah kawasan baru ini lebih mencabar?

Azharuddin: Kawasan carian baru berdasarkan analisis yang dilakukan Pasukan Boeing terhadap rekod pesawat sejak ia berlepas. Berdasarkan rekod itu mereka mendapati kelajuan pesawat itu berbeza dengan maklumat kita sebelum ini, oleh itu tidak boleh terbang sejauh yang dijangka dan berada di sebelah Utara kawasan objek yang dikesan satelit sebelum ini. Buat masa ini objek yang dikesan satelit masih belum dikesan pesawat operasi mahupun kapal di lautan.

Soalan: MH370 adalah code sharing bersama China Southern Airline, adakah mereka turut memikul tanggungjawab? Bagaimana pula dengan Boeing?

Ahmad Jauhari: Kami masih sedang berbincang dengan China Southern. Setakat ini belum ada bantuan kewangan dari Boeing tapi mereka memberi kerjasama sepenuhnya.

Soalan: Bagaimana dengan ganti rugi insurans terhadap keluarga kerana CEO MAS sendiri telah kata bahawa peluang untuk hidup amat tipis?

Ahmad Jauhari: Kami sedang bebincang dengan pasukan perundangan dan juga dengan keluarga penumpang. Setakat ini ahli keluarga mahu kepastian dan bukti bahawa pesawat itu terhempas terlebih dulu.

Soalan: Disebabkan cuaca buruk, operasi ditangguhkan dua kali. Adakah anda masih yakin untuk menjumpai serpihan?

Hishammuddin: Kami akan terus mencari dan tidak akan menoleh belakang. Pasukan SAR memberikan perkembangan terbaru mengenai keadaan cuaca dan juga jika ada objek dikesan. Selepas hari ke 30 kelak kami sedang melihat kepada operasi pencarian laut dalam, tapi saya ingin ingatkan semua pihak sepertimana yang berlaku terhadap Air France 447, operasi mengesan kotak hitam ketika itu mengambil masa dua tahun. Kami sedang bekerjasama dengan pasukan sama untuk mengesan kotak hitam kelak.

Soalan: Adakah objek-objek yang dikesan satelit pelbagai negara objek yang sama? Berdasarkan data baru adakah pesawat berada di udara sehingga jam 8.11 pagi hari kejadian?

Hishammuddin: Saya sudah melihat semua imej satelit dan sahkan semua itu dikesan di kawasan carian. Kami konsisten untuk terus mencari pesawat berkenaan sejak hari pertama.

Azharuddin: Jarak kawasan carian juga mencabar buat pasukan mencari. Memerlukan 3-4 jam untuk sampai ke lokasi dan hanya mempunyai masa dua jam mencari sebelum terpaksa berpatah balik.

Soalan: Sebelum ini dimaklumkan kelajuan pesawat adalah lebih kurang 850 km sejam, adakah data baru ini menunjukkan kelajuan yang lebih kurang sama. Apakah anggaran kelajuan berdasarkan data sekarang?

Azharuddin: Kelajuan pesawat bergantung kepada ketinggian, semakin tinggi semakin kurang pakai minyak. Ia menggunakan pengiraan matematik yang kompleks. Boeing telah kira kelajuan paling tinggi dan kurang. Berdasarkan pengiraan baru ini menyebabkan perubahan kawasan carian.

Hishammuddin: Lebih membanggakan pasukan teknikal terdiri daripada pelbagai negara dan senarai yang disebut, UK, US, China, NTSB, FAA, AAIB, semuanya duduk semeja.

Soalan: Adakah kita mempunyai kemampuan khususnya dari segi kewangan untuk meneruskan operasi jika negara lain tarik diri?

Hishammuddin: Sehingga hari ini pun yang tarik diri tak dapat teruskan sebab lokasi. Ini merupakan insiden yang libatkan semua pihak, dan kita terharu dengan sokongan dunia. Itulah yang beri semangat dan tidak putus asa setakat mana yang kita mampu.

Soalan: Adakah pengiraan data baru ini bermakna pesawat berkenaan tidak pernah terbang rendah?

Azharuddin: Pengiraan sangat kompleks. Kami mengambil kedudukan terakhir pesawat dikesan dan daripada lokasi itu kelajuan dikira, saya tidak boleh beritahu laluan penerbangan berkenaan namun kami telah kira pelbagai aspek termasuk ketinggian kelajuan dan sebagainya, itu cara mereka kira. Mereka telah hantar data itu ke Australia dan kawasan carian baru yang masih dalam koridor selatan dikenal pasti.

Hishammuddin: Maklumat lanjut akan diberikan kepada media dalam masa terdekat. Tumpuan sekarang adalah mengesan serpihan yang dikesan satelit.

Soalan: Apakah perkembangan siasatan polis terhadap juruterbang? Anda menerima banyak kritikan dan anda telah pertahankan diri, adakah perkara yang anda akan lakukan berbeza jika diberi peluang?

Hishammuddin: Saya tidak rasa kami akan lakukan apa-apa berbeza kerana saya rasa walau apa jua yang dilempar terhadap kami, sejarah akan nilai kami sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dan setiap maklumat yang kami perolehi disahkan terlebih dulu. Sejak dari hari pertama. Tiada orang sangka operasi carian sehingga Lautan Hindi. Di mana kami berada hari ini adalah berdasarkan komitmen terhadap maklumat sahih, kami telah lakukan terbaik, secara adil dan telus dan sejarah akan nilai kami. Dari segi siasatan polis pula bergantung kepada ketua polis negara yang sedang bekerjasama dengan agensi antarabangsa. Saya akan minta dia hadir pada sidang media akan datang.

Soalan: Adakah juruterbang dan pembantu kenal antara satu sama lain sebelum naik pesawat? Sebelum ini anda katakan ujian psikologi dilakukan terhadap juruterbang. Apakah kekerapan ujian dilakukan?

Ahmad Jauhari: Kami mempunyai jadual juruterbang dan kami cuba untuk menyusunnya secara efisien. Kami ada komuniti juruterbang yang besar dan tidak pasti sama ada mereka kenal satu sama lain. Ujian psikologi dilakukan bila ambil juruterbang baru, dan sesuatu yang kami lakukan secara tahunan dan enam bulan sekali bergantung pada umur dan perbincangan dengan doktor.

Soalan: Adakah petunjuk baru ini boleh memberi maklumat tentang apakah yang berlaku terhadap pesawat berkenaan? Ini boleh meredakan emosi keluarga penumpang di China.

Hishammuddin: Bergantung kepada pihak polis tapi saya rasa tidak boleh terlalu tumpu kepada redakan perasaan kerana apapun maklumat perlu sahih. Kita tak boleh anggap keluarga akan bertenang dengan begitu saja. Saya ingin tegaskan bukan mereka sahaja yang hilang keluarga, rakyat Malaysia dan negara lain turut ada.

UTAMABERITASoal Jawab Sidang Media Mengenai Operasi Mencari #MH370 – 28/03/2014 (video)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium