Sorotan 2014: BN Perlahan-Lahan Raih Kembali Sokongan Rakyat - pakdin.my

TATAP BN… Sebahagian daripada penyokong Parti Barisan Nasional yang menghadiri Himpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional di Hongkod Koisaan Penampang

Tahun 2014 menyaksikan prestasi Barisan Nasional kembali meningkat, meskipun bergerak dengan agak perlahan, malah parti pemerintah itu dilihat mulai meraih kepercayaan dan sokongan rakyat berdasarkan beberapa kejayaan yang dikecapi.

Memperoleh kemenangan dalam tiga daripada empat pilihan raya kecil (PRK) yang ditandingi parti pada tahun ini, ia memberi harapan bahawa BN masih berpeluang untuk terus mengemudi negara.

Tahun 2014 mencatatkan lima PRK diadakan iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di Sarawak, DUN Kajang (Selangor), Parlimen Teluk Intan (Perak) dan DUN Pengkalan Kubor (Kelantan), serta kerusi Parlimen Bukit Gelugor (Pulau Pinang) yang tidak ditandingi BN.

Bagi parti pembangkang, meskipun berjaya mengekalkan dua kerusi miliknya iaitu di Kajang dan Bukit Gelugor, namun kerana pergolakan dan krisis politik dalaman, ia sedikit sebanyak memberi impak dan tekanan kepada parti dalam menyaingi parti pemerintah.

KEMENANGAN BERMAKNA

Tiga PRK menyaksikan kepercayaan pengundi kepada BN apabila parti itu berjaya mempertahankan dua kerusi, dan merampas kembali sebuah kerusi daripada tangan pembangkang.

Bagi kerusi Balingian, BN melalui Yussibnosh Balo berjaya mempertahankan kerusi dengan menewaskan Abdul Jalil Bujang daripada PKR dengan majoriti 6,911 undi. Yussibnosh memperoleh 8,194 undi, berbanding Abdul Jalil dengan 1,283 undi.

BN juga berjaya mengekalkan taringnya dengan kemenangan di Pengkalan Kubor apabila calonnya Mat Razi Mat Ail menang dengan majoriti 2,635 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim yang memperoleh 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang menerima 38 undi sahaja.

Pastinya, satu kemenangan bermakna dan anjakan besar kepada BN, apabila Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas kembali kerusi yang terlepas ke tangan DAP sejak 2008.

Beliau menewaskan calon muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dalam pertembungan cukup sengit dengan majoriti kecil sebanyak 238 undi, apabila mendapat 20,157 undi manakala Dyana Sofya memperoleh 19,919 undi.

DETIK KEBANGKITAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kejayaan BN menawan kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap parti itu telah mulai mengukuh.

Meskipun kemenangan diperoleh dengan majoriti kecil, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti, khususnya Gerakan, untuk melakukan lebih banyak gerak kerja dan usaha berterusan.

Kemenangan parti Gerakan, sebagai parti ‘underdog’, membuktikan bahawa kebersatuan parti komponen BN adalah kunci untuk menang. Kemenangan itu seharusnya menjadi contoh dan pemacu kepada parti komponen lain.

Dalam PRK Kajang misalnya, meskipun kemenangan tidak memihak kepada calon BN yang bertanding iaitu Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, BN berjaya menurunkan majoriti calon lawan.

Keputusan PRK itu berpihak kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi yang diterima Chew, menjadikan majoriti 5,379 undi.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Lee Chin Cheh daripada PKR memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri itu dengan majoriti 6,824 undi, meskipun terpaksa berentap dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

SOKONGAN MULAI KEMBALI

Pilihan raya kecil itu, yang direncanakan oleh PKR setelah Lee meletak jawatan secara mengejut, turut menyaksikan sokongan pengundi Cina terhadap BN meningkat tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan pada PRU13.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kembalinya sokongan pengundi Cina kepada BN menunjukkan bahawa masyarakat itu telah memperbaharui harapan mereka terhadap BN, serta menyifatkan PRK itu sebagai satu permulaan buat MCA meneruskan misi mentransformasi parti.

Pilihan raya kecil itu, yang menjadi kayu pengukur kepada penerimaan rakyat kepada parti, ternyata menyuntik dan membakar semangat kepada MCA untuk melakukan transformasi agar kekal relevan dalam pentas politik tanah air.

Selain MCA yang bertungkus lumus untuk menawan kembali kepercayaan kaum Cina, tugas berat juga dipikul MIC yang dipimpin Presidennya Datuk Seri G. Palanivel, untuk mengembalikan era kegemilangan MIC dan memastikan parti itu terus relevan untuk kaum India.

TUGAS BERAT

Sejak Palanivel mengambil alih kepimpinan parti daripada Datuk Seri S. Samy Vellu, belum ada lagi perubahan atau penambahbaikan drastik dilakukan terhadap parti, malah kepincangan dalaman parti semakin hari semakin menyerlah, hinggakan semakin ramai yang lantang bersuara.

Palanivel dilihat sering mengambil langkah mendiamkan diri setiap kali isu-isu berkaitan masyarakat India atau parti itu dibangkitkan, antaranya yang terbaharu apabila pemimpin dan anggota parti itu hilang sabar tatkala menunggu langkah yang bakal diambil Palanivel susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan pemilihan semula diadakan bagi jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga naib presiden.

Susulan kritikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah terhadap Palanivel berkaitan isu gelongsoron lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pengarah Strategi MIC Datuk Seri S. Vell Paari turut membidas ketuanya dengan berkata parti itu perlu segera diberi nafas baharu dan melakukan perubahan supaya ia relevan dengan landskap politik tempatan.

Beliau berkata pada peringkat sekarang, parti berusia 68 tahun itu memerlukan seorang pemimpin dinamik yang mampu mengatasi cabaran dihadapi MIC.

Seperti MCA, MIC perlu bangkit dan melakukan perubahan untuk menjadi parti yang digeruni sebagaimana ketika era kegemilangannya, di samping memastikan undi kaum India kembali kepada parti itu.

Parti Progresif Penduduk (PPP) pula mengambil langkah mentransformasi pendekatan dengan lebih menumpukan kepada pembangunan masyarakat India dalam usaha menarik sokongan mereka terhadap BN.

Presidennya Tan Sri M. Kayveas berkata transformasi di dalam PPP itu penting sebagai usaha meraih kembali kepercayaan serta sokongan masyarakat India terhadap BN yang hilang setelah negara dilanda tsunami politik pada 2008 dan 2013.

BN, KERAJAAN TERBAIK

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prestasi buruk BN dalam PRU12 dan PRU13 memerlukan semua parti komponennya menyegarkan dan mencergaskan semula gabungan itu dalam menghadapi cabaran pada masa depan serta pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri memberi amaran anggota BN perlu menjangkakan cabaran lebih berat yang bakal dihadapi.

“Prasyarat pertama bagi kelangsungan politik kita adalah untuk merapatkan barisan, memperkukuhkan parti, mengelak perpecahan dalam politik dan terus melangkah untuk semua rakyat Malaysia,” kata Najib ketika merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik pada 16 Nov lepas.

BN, meskipun sering kali dimanipulasi dan difitnah terutamanya melalui media sosial serta ditekan dengan pelbagai isu, terus berusaha menambah baik ruang lingkupnya demi membuktikan parti itu merupakan parti terbaik untuk menjadi kerajaan yang memimpin Malaysia.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2014 bulan lepas, Najib, yang juga Presiden Umno, acap kali menekankan kepentingan soladariti selain menegaskan bahawa BN khususnya Umno sedia untuk berubah.

Tegasnya Umno selaku komponen utama dalam BN akan terus memastikan kelangsungan solidariti kerana ia merupakan aset penting yang dapat menjamin keamanan serta keharmonian Malaysia.

“Ini satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh kerajaan kerana ia aset paling mustahak demi survival Umno, BN dan negara tercinta,” katanya.

Najib turut menggunakan pentas perhimpunan agung tahunan parti terbesar orang Melayu itu untuk mengumumkan keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948, malah menambah baik akta berkenaan demi solidariti, keharmonian rakyat dan kestabilan Malaysia.

UTAMAPOLITIKSorotan 2014: BN Perlahan-Lahan Raih Kembali Sokongan Rakyat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium