Friday - July 30, 2021 @ 00:06
NUSANTARAS'pura sasar 2 pertiga penduduk divaksin sepenuhnya jelang Hari Kebangsaan

S’pura sasar 2 pertiga penduduk divaksin sepenuhnya jelang Hari Kebangsaan

Singapura kini boleh menetapkan sasaran “lebih tinggi” untuk memvaksin dua pertiga penduduk negara ini terhadap COVID-19 menjelang Hari Kebangsaan sedang program vaksinasi terus diperhebat, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (24 Jun).

“Saya sebelum ini ada mengatakan bahawa kami menetapkan sasaran untuk memvaksin sepenuhnya sekurang-kurangnya separuh penduduk kita menjelang Ogos,” katanya dalam satu catatan Facebook.

“Sejak itu, kami telah bekerja keras untuk mempercepatkan penghantaran vaksin dan mempercepat proses vaksinasi.”

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam perutusannya kepada seluruh negara pada bulan lalu berkata bahawa sesiapa yang layak untuk mendapatkan vaksin dan sudah menyatakan hasrat untuk mendapatkannya seharusnya dapat menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka menjelang Hari Kebangsaan.

Hari Kebangsaan Singapura jatuh pada 9 Ogos.

Dalam rencana yang diterbitkan oleh The Straits Times pada Khamis, ketiga-tiga pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian COVID-19 – Encik Wong, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung – berkata bahawa Pemerintah sedang berusaha untuk mempercepatkan penghantaran vaksin dan proses vaksinasi di negara ini.

Rakyat Singapura yang berusia 12 hingga 39 tahun adalah kumpulan terkini yang layak mendaftarkan minat bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Pendaftaran bagi kumpulan usia itu bermula pada 11 Jun. Para pemohon akan dipelawa secara bertahap-tahap untuk membuat janji temu bagi vaksinasi mereka melalui SMS dengan pautan tempahan diperibadikan dihantar ke nombor telefon bimbit yang mereka daftarkan.

Setakat sehingga 21 Jun, sekitar 2.9 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi negara, termasuk 2 juta yang menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan rejimen penuh vaksinasi.

– CNA/TQ/tq

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here