Subkontraktor Maut, Pelayan Kedai Cedera Ditembak Jarak Dekat

Kongsi

tembak-di-jalan-raja-bot

Seorang subkontraktor lelaki warga Indonesia maut manakala seorang wanita pelayan kedai cedera selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki yang menaiki motosikal di sebuah kedai makan di Jalan Raja Bot, di sini, Rabu malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa berusia 40 tahun itu parah selepas terkena empat das tembakan di bahagian belakang badannya dan dilaporkan mati sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, wanita warga Indonesia itu pula cedera di kakinya selepas terkena serpihan tembakan.

“Dalam kejadian pukul 7.40 malam, ketika itu mangsa baru tiba di kedai itu dan mendapati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki memakai topi keledar bertutup penuh datang berdekatan mangsa.

“Salah seorang dari mereka telah melepaskan tembakan di belakang mangsa dari jarak kira-kira tiga meter. Kedua-dua lelaki itu kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Khairi berkata siasatan awal mendapati mangsa datang ke kedai itu untuk berjumpa kawannya yang dipercayai pemilik kedai makan berkenaan.

“Tetapi belum sempat untuk duduk, mangsa telah ditembak. Kawannya (pemilik kedai) yang melihat kejadian terbabit terus membawa mangsa dan wanita itu ke HKL,” katanya sambil menambah polis masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Kongsi