Sumpah laknat: Boleh kalau tiada pilihan, kata mufti Pahang - pakdin.my

Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman berpandangan sumpah laknat yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Katanya, istilah sumpah laknat (li’an) dan “mubahalah” terdapat dalam Islam, bagaimanapun dalam melaksanakannya ia harus melihat kepada situasi.

“Sebenarnya istilah itu ada dalam syarak, mubahalah istilah yang ada, tinggalnya lagi untuk mengamalkannya. Ada waktu sesuai, ada waktu tak sesuai, tetapi tidak bercanggah dengan syarak.

“Bagi orang ramai tidak sesuai (untuk sumpah laknat), kalau tidak sikit-sikit mahu bersumpah. Bagi pemimpin tertentu mungkin sesuai kalau tiada pilihan.

“Kalau negara kita mengamalkan hukum syarak mungkin boleh, tapi negara kita melaksanakan perundangan sivil, semolek-moleknya tak perlu bersumpah, tetapi kalau dah tak ada pilihan (boleh bersumpah),” mengikut laporan Malaysiakini.

Jumaat lalu, Najib melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.

Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menter) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai “li’an”.

Dalam Islam, ucapan li’an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.

Manakala Istilah “mubahalah” (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin menyifatkan Najib berhak berbuat demikian bagi menafikan tuduhan serius yang dilemparkan terhadapnya.

Menurut Zamihan sumpah yang dilakukan Najib adalah berbentuk sumpah tazkiyyah iaitu penyucian diri atau tabri’ah (pelepasan) diri daripada sebarang bentuk fitnah atau tuduhan jahat.

Katanya, walaupun sumpah Najib tidak memberi impak kepada mahkamah sivil atau mahkamah syariah, tetapi sekurang-kurangnya beliau berani menafikan tuduhan berkenaan atas nama Allah SWT.

“Sumpah dalam bentuk ini merupakan sumpah tazkiyyah (penyucian diri) atau tabri’ah (pelepasan) diri daripada fitnah atau tuduhan jahat sebagaimana yang dibuat oleh Saad ibn Abi Waqqas RA terhadap seorang lelaki yang memfitnah beliau.

“Cuma sumpah begini tidak digalakkan kerana dikhuatiri orang yang bersumpah mempermainkan sumpah atas nama Allah SWT dan ia boleh mengundang laknat. Ini kerana ia boleh menyebabkan turunnya bala dari Allah SWT dan memberi kesan kepada masyarakat sejagat.

UTAMANAJIB RAZAKSumpah laknat: Boleh kalau tiada pilihan, kata mufti Pahang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium