Surat mohon kemuka usul bahas peralihan kuasa adalah palsu, kata KJ

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan telah menghantar surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkaitan usul membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairy membuat penafian itu di laman Instagramnya sebentar tadi.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau kini berada di luar negara dan zon masa yang berbeza dengan di tanah air, justeru memohon maaf kerana penjelasan tersebut agak lewat.

“Saya dimaklumkan mengenai surat yang dihantar ke Parlimen oleh saya mengenai usul untuk menukar perdana menteri.

“Saya menegaskan surat tersebut adalah palsu,” katanya.

Khairy juga hairan bagaimana surat tersebut boleh disah terima oleh pejabat di Parlimen tanpa mendapatkan pengesahan beliau terlebih dahulu.

“Tindakan pihak yang telah menyamar dengan menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan suatu fitnah yang boleh menjejaskan reputasi saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan parti Barisan Nasional,” kata KJ dalam kenyataan.

Pagi ini tular satu tangkap layar surat tersebut yang menggunakan kepala surat Khairy bertarikh 21 November (semalam) bagi membahaskan usul tersebut di bawah Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

1 komen

Comments are closed.