Tuesday, June 22, 2021
POLITIKSurat terbuka peguam kepada Perdana Menteri

Surat terbuka peguam kepada Perdana Menteri

PEGUAM Haniff Khatri menyarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan jawatankuasa diraja bagi memantau keberkesanan tadbir urus negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Haniff berkata, turut mencadangkan tujuh nama termasuk Muhyiddin bagi menganggotai jawatankuasa itu.

Nama yang dicadangkan ialah:

(i) Tun Dr Mahathir Mohamad (seorang Negarawan Kanan sebagai Pengerusi),

(ii) Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah (seorang Negarawan, sebagai Timbalan Pengerusi),

(iii) Tan Sri Hj Muhyiddin Bin Hj Yassin (dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri pada ketika ini),

(iv) Tan Sri Abu Talib Osman (mantan Peguam Negara, sebagai pakar perundangan),

(v) Tun Mohammed Hanif bin Omar (mantan Ketua Polis Negara, sebagai pakar keselamatan),

(vi) General Tan Sri Affendi Buang (Panglima Angkatan Tentera sebagai pakar ketenteraan), dan

(vii) Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan, sebagai pakar kesihatan)

Berikut surat terbuka yang dikirim kepada Perdana Menteri.

SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA TS MUHYIDDIN YASSIN BERHUBUNG SARANAN IKHLAS BERKAITAN TADBIR URUS NEGARA SEMASA PELAKSANAAN DARURAT !!

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,

AsSalaamualaikum dan Salaam Sejahtera :

~~~~~~~~~~~~~~~

Ke hadapan

Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yassin

Perdana Menteri Malaysia

AsSalamualaikum Warahmatullahi Wabbarakatuh,

PER : SARANAN IKHLAS BERKAITAN TADBIR URUS NEGARA SEMASA PELAKSANAAN DARURAT.

Saya dengan rendah diri merujuk kepada perkara di atas dan memajukan surat ini sebagai seorang rakyat Malaysia dan seorang pengamal undang-undang, satu fakta sepertimana dan sememangnya dalam pengetahuan YAB Tan Sri.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1442 Hijrah kepada YAB Tan Sri serta seisi keluarga, dan pada masa yang sama juga berharap ianya tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Ulangtahun Kelahiran ke-74 yang disambut YAB Tan Sri tepat dua minggu yang lalu.

3. Saya dengan hati yang bangga sebagai seorang rakyat Malaysia juga menghulurkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YAB Tan Sri sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan YAB Tan Sri, dalam mengambil langkah penting untuk memberhentikan perkhidmatan Dato’ Sri Hj Tajuddin bin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd melalui surat bertarikh 26.05.2021 yang dikeluarkan oleh Menteri yang bertanggungjawab berkaitan Prasarana Malaysia Bhd, iaitu Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz yang berkuatkuasa mulai tarikh surat itu.

4. Rata-rata rakyat Malaysia faham dan terima hakikat bahawa pemberhentian perkhidmatan Dato’ Sri Hj Tajuddin bin Abdul Rahman adalah di atas tindakan dan kelakuan beliau pada 25.05.2021 yang mengeluarkan kenyataan dan ungkapan yang tidak profesional berhubung kemalangan tragik parah yang pertama dalam sejarah 25 tahun perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pada malam 24.05.2021 yang lalu.

5. Pada masa yang sama, semestinya tindakan Kerajaan YAB Tan Sri itu menzahirkan dengan jelas di mata rakyat Malaysia bahawa YAB Tan Sri bukan sahaja memahami dan menghormati, malah sememangnya mempraktikkan konsep “tanggungjawab dan kebertanggungjawaban”(“responsibility and accountability”) yang merupakan satu konsep penting dan utuh dalam sistem tadbir urus negara, iaitu cabang Eksekutif Kerajaan, yang berkait dengan kes ini kerana ianya melibatkan jawatan Pengerusi sebuah Syarikat Milik Kerajaan yang dilantik oleh Kerajaan YAB Tan Sri.

6. Justeru, dalam nafas yang sama, dalam mematuhi konsep “tanggungjawab dan kebertanggungjawaban”(“responsibility and accountability”) yang sama ini, izinkan saya selepas ini menampilkan saranan ikhlas saya bagi tujuan keberkesanan tadbir urus negara semasa pelaksanaan Darurat kini, yang di atas permohanan Kerajaan YAB Tan Sri pada 11.01.2021 telah diperkenankan oleh KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan sebagai Darurat Kesihatan Covid-19 pada 12.01.2021 dan berefektif mulai 11.01.2021 yang lalu.

7. Sepertimana yang diketahui dan difahami oleh YAB Tan Sri, kuasa efektif iaitu kuasa eksekutif urus tadbir negara semasa Darurat pada hakikatnya kembali secara terus kepada dan berpunca semula dari “tangan” KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong, seperti mana yang telah terlaksana semasa Darurat 1969 hingga 1971 yang juga telah dipohon oleh Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan diperkenankan oleh KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong Ke-4 iaitu Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah pada malam 16.05.1969.

8. Rujukan ringkas kepada Wikipedia Bahasa Melayu di atas tajuk “Peristiwa 13 Mei” dan sub-tajuk “Mageran” menyatakan, yang mana saya terbitkan semula di sini untuk kemudahan rujukan YAB Tan Sri :

“Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969. Dengan pengistiharan ini, Perlembagaan Persekutuan telah digantung. Negara diperintah secara terus oleh Yang DiPertuan Agong dibawah undang-undang tentera. Dalam pada itu, Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman telah menarik diri dari mengetuai majlis tersebut. Tempat beliau telah digantikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Berikutan itu, Parlimen juga digantung.

Sepanjang tempoh darurat, Mageran telah melakukan pelbagai tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian agar tragedi tersebut tidak berulang. Antara tindakan yang diambil ialah membentuk satu Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang perlembagaan negara. Turut dilakukan ialah melancarkan Dasar Ekonomi Baru untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan satu aktiviti ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar dan membentuk Barisan Nasional yang bersifat sebagai sebuah kerajaan perpaduan.”

9. Dalam erti kata lain, kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa Darurat sememangnya kembali ke”tangan KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong untuk tentukan “badan” yang akan bantu Baginda Tuanku dalam melaksanakan tadbir urus negara semasa Darurat, sepertimana pada tahun 1969, selepas perolehan Perisytiharan Darurat pada malam 16.05.1969, Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah berundur dan menarik diri memegang kuasa eksekutif dalam tadbir urus negara dan KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong Ke-4 pada ketika itu telah membentuk MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) yang dipengerusikan oleh Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, bukannya sebagai Perdana Menteri, tetapi sebagai Pengerusi MAGERAN itu.

10. Namun, kembali kita ke Darurat 2021 kini, YAB Tan Sri dalam memperolehi perkenan KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong pada 12.01.2021 yang berefektif pada 11.01.2021 telah pada masa yang sama pohon perkenan gubalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (Ordinan Darurat #1) dan di bawah Seksyen 11(a) di sana meletakkan kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa Darurat pada Kerajaan YAB Tan Sri, yang mana saya terbitkan di sini :

” 11. Bagi tempoh darurat berkuat kuasa —-

(a) Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang wujud sebaik sebelum Proklamasi Darurat dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang telah diberikan kuasa eksekutif hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan dan mana-mana orang yang telah diberikan fungsi eksekutif oleh undang-undang hendaklah terus menjalankan fungsi itu; ”

11. Hatta, melalui Sekyen 11(a) Ordinan Darurat #1 itu, Kerajaan YAB Tan Sri telah dibenarkan menjalankan kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa Darurat, yang walau bagaimana sekalipun adalah kuasa yang pada dasarnya telah kembali dan di”pegang” oleh KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong pada masa pelaksanaan mana-mana Darurat, dan inilah dalam pandangan jelas rakyat Malaysia adalah perbezaan ketara dengan Darurat 1969 yang meletakkan kuasa eksekutif tadbir urus negara pada masa Darurat itu dari “tangan” KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong kepada MAGERAN pada tahun 1969 itu.

12. Sememangnya betul YAB Tan Sri, ada juga satu Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat #1 yang sama, tetapi fungsi khusus Jawatankuasa itu adalah dihadkan kepada isu “tempoh” pelaksanaan Darurat itu sahaja, sepertimana yang dinyatakan di sana, dan dipetik semula saya di sini :

” 2. (1) Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19). ”

13. Nescaya dalam keseluruhan hal keadaan yang saya butirkan di atas, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diwujukan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat #1 itu, tidak mempunyai kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa Darurat, yang kini dipegang oleh Kerajaan YAB Tan Sri di bawah Seksyen 11(a) Ordinan Darurat #1 yang sama.

14. Hakikatnya juga, sepertimana yang diketahui oleh YAB Tan Sri melalui pelbagai laporan media utama dan media sosial, yang secara hormat saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan di sini, rata-rata menzahirkan rasa kebimbangan dan kerungsingan segolongan besar rakyat Malaysia, dengan peranan dan kelakuan serta tindakan mahupun ketinggalan sebahagian besar Ahli Jemaah Menteri Kerajaan YAB Tan Sri, yang dilihat bukan sahaja tidak memberikan apa-apa manafaat kepada negara dalam membantu tadbir urus negara semasa pandemik Covid-19 dan Darurat ini, malah menimbulkan pelbagai masalah dan kesan negatif kepada tadbir urus Kerajaan YAB Tan Sri.

15. Sayugia, dengan mempercayai usaha ikhlas YAB Tan Sri dalam mematuhi dan mempraktikkan konsep “tanggungjawab dan kebertanggungjawaban”(“responsibility and accountability”) sepertimana yang dilaksanakan dalam kes “Pengerusi Prasarana” itu, izinkan saya mengutarakan saranan ikhlas saya untuk YAB Tan Sri laksanakan sesegera mungkin bagi tujuan memperbaiki dengan efektif dan kesan positif akan kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa pelaksanaan Darurat ini, seperti berikut :

a. YAB Tan Sri sesegera mungkin menasihati KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong bahawa YAB Tan Sri walaupun kekal sebagai Perdana Menteri, akan menyerahkan semula kuasa eksekutif tadbir urus negara kepada KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong yang boleh dilaksanakan melalui pembatalan Seksyen 11(a) Ordinan #1,

b. Seterusnya, YAB Tan Sri menasihati KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong bahawa pelantikan kesemua Ahli Jemaah Menteri kini, adalah dibatalkan menurut peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan

c. Selanjutnya, YAB Tan Sri menasihati KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong bahawa kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa Darurat ini diserahkan kepada satu Jawankuasa Penasihat DiRaja Darurat yang dilantik oleh KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong yang boleh dilaksanakan dengan penggubalan satu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang baru,

d. Akhirnya, YB Tan Sri menasihati KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong bahawa di bawah kuasa eksekutif yang dipegang KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong semasa Darurat, sejumlah TUJUH (7) individu seperti berikut dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Penasihat DiRaja Darurat, iaitu :

(i) Tun Dr Mahathir Mohamad (seorang Negarawan Kanan sebagai Pengerusi),

(ii) Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah (seorang Negarawan, sebagai Timbalan Pengerusi),

(iii) Tan Sri Hj Muhyiddin Bin Hj Yassin (dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri pada ketika ini),

(iv) Tan Sri Abu Talib Osman (mantan Peguam Negara, sebagai pakar perundangan),

(v) Tun Mohammed Hanif bin Omar (mantan Ketua Polis Negara, sebagai pakar keselamatan),

(vi) General Tan Sri Affendi Buang (Panglima Angkatan Tentera sebagai pakar ketenteraan), dan

(vii) Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan, sebagai pakar kesihatan)

16. Saya sesungguhnya percaya bahawa saranan ikhlas saya ini, yang berpandukan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, akan dapat kembalikan keyakinan kesemua rakyat Malyasia bahawa bukan sahaja tadbir urus negara semasa Darurat akan kembali ke landasan yang teratur, malah usaha jitu untuk membendung dan seterusnya menghapuskan pandemik Covid-19 serta pembaikpulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat disebaban pandemik Covid-19 ini, akan dapat dijayakan sebaiknya seperti yang dihasratkan oleh KeBawah Duli Yang Dipertuan Agong dan YAB Tan Sri, selama ini.

17. Akhir kata, sekiranya ada tersalah kata mahupun tersilap ungkap maka saya dengan seikhlasnya juga menghulurkan permintaan maaf kepada YAB Tan Sri, kerana tulisan saya ini adalah cara terbaiknya yang saya percaya saya dapat sumbangkan khidmat saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab yang sayangkan negara tercinta ini.

Sekian. Terima kasih.

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!
Haniff Khatri
28.05.2021

Berkaitan:

Terkini

Popular

Video

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here