Tahniah Azizulhasni – Pingat Gangsa Keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 (video) #pakdin.my

Azizulhasni - Keirin UCI 2015-

Pencapaian pingat gangsa dalam acara keirin oleh jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 di Paris hari ini sememangnya membanggakan, kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Azizul (Mohd Azizulhasni). Beliau telah menunjukkan prestasi yang konsisten selepas memenangi acara yang sama di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) awal bulan ini.

 

 

“Kejayaan meraih pingat itu sekali gus memberikannya mata ranking tambahan untuk peluang beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan,” katanya kepada Bernama di sini.

Kejayaan terbaik Mohd Azizulhasni di Kejohanan Trek Dunia UCI sebelum ini ialah dua pingat perak iaitu dalam acara pecut dan keirin, masing-masing di Pruszkow, Poland dan Copenhagen, Denmark pada tahun 2009 dan 2010.

Azizulhasni - Keirin UCI 2015--

Pada 5 Feb lepas, Mohd Azizulhasni meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan ACC ke-35 di Nakon Ratchasima, Thailand.

Mengenai Josiah pula, Naim berkata Kejohanan Trek Dunia UCI 2015 menjadi penyertaan terakhir pelumba yang berasal dari Sarawak itu dan telahpun dimaklumkan mengenai pekara itu sebelum ini.

“Penyertaan di Paris adalah yang terakhir buat Josiah dalam pembabitan beliau mengharumkan nama negara selama 15 tahun. Pihak PKBM telahpun bersetuju untuk melantik Josiah sebagai pengurus pasukan trek negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

“Bagi pihak PKBM, saya mengucapkan terima kasih kepada Josiah kerana telah banyak menyumbang kepada arena sukan berbasikal negara,” kata Naim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Trek PKBM.

Pelumba yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada 2 Feb lepas, telah mengumumkan secara rasmi mengenai persaraan beliau menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Beliau yang dilahirkan di Manila, Filipina, pernah beraksi dua kali di Sukan Olimpik iaitu di Athens (2004) dan Beijing (2008) dan menjadi pelumba simpanan di Sukan Olimpik London (2012).

Pada penampilan Sukan Olimpik pertama beliau di Athens, Josiah telah muncul sebagai pelumba Malaysia pertama berjaya melangkah ke peringkat akhir acara keirin, namun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Kejayaannya itu membolehkan Josiah dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan 2004 dan Anugerah Olimpian 2004 oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Berkaitan