Tak hirau bahaya ombak besar - pakdin.my

Kanak-kanak tidak menghiraukan bahaya bermain di pantai.
Kanak-kanak tidak menghiraukan bahaya bermain di pantai.

Kuantan: Kibaran bendera merah di beberapa pantai peranginan di daerah ini sebagai tanda amaran bahaya turun ke laut langsung tidak menggerunkan orang ramai, malah ada ibu bapa berani membawa anak mandi tanpa menghiraukan risiko bakal menimpa.

Tinjauan di pantai Balok dan Sepat, di sini, mendapati orang ramai memenuhi tempat peranginan itu dan ada yang sanggup mandi walaupun Jabatan Meteorologi memberi amaran ombak setinggi hampir tiga meter boleh terjadi, sekali gus membahayakan nyawa.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri Datuk Kolonel Che Othman Husin berkata, pihaknya meletakkan bendera merah di semua pantai peranginan di negeri ini bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti air berikutan cuaca tidak menentu selain tiupan angin kuat.

Katanya, semua aktiviti air diarahkan berhenti untuk sementara waktu sehingga penghujung bulan ini berikutan laut bergelora yang berisiko menyebabkan kejadian lemas.

“JPAM meletakkan sekurang-kurangnya empat pengawal pantai yang bertindak memantau serta menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan itu demi keselamatan masing-masing.

“Namun, ada pihak yang berdegil tetap mahu mandi tanpa menghiraukan bahaya yang bakal mereka hadapi.

“Mereka perlu tahu dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, perkara tidak diingini seperti lemas boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan susulan terhadap kumpulan atau individu yang enggan mematuhi larangan mandi di pantai peranginan, sebaliknya hanya boleh menasihati supaya menjauhi tempat terbabit.

“Kita menjalankan tanggungjawab untuk meminimumkan sebarang kejadian tidak diingini di pantai peranginan, namun usaha ini sia-sia jika tiada kerjasama daripada orang ramai untuk mematuhi larangan ditetapkan pengawal pantai,” katanya.

Sementara itu, Pengawal Pantai JPAM Razali Man, 34, berkata, dia pernah dimaki-hamun sekumpulan pemuda kerana menasihatkan mereka supaya tidak turun mandi di laut kerana mereka beranggapan keadaan ombak tidak bahaya.

“Saya pernah dimarahi oleh sekumpulan pemuda melarang mereka mandi walaupun tindakan saya hanya mahu memastikan tiada nyawa terancam berikutan keadaan ombak yang bergelora,” katanya.

Seorang nelayan di Kampung Sepat, di sini, Rusman Rahmat, 42, berkata, sifat bongkak segelintir individu yang mendakwa hebat berenang walaupun lautan bergelora boleh mengundang kejadian lemas.

“Saya yang sudah menjadi nelayan lebih 20 tahun tidak berani turun ke laut pada musim tengkujuh kerana bimbangkan keselamatan sehingga menyebabkan bot terbalik.


“Lautan ini kita tidak boleh duga kerana bahayanya datang tanpa kita sedari. Justeru, lebih elok patuhi arahan pihak berkuasa di kawasan larangan,” katanya.

UTAMABERITATak hirau bahaya ombak besar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium