Takhta Kesultanan Melaka: Ketua Menteri diugut sumpahan ‘Ratu Kepulauan Melayu’ - pakdin.my

Noor Jan Shah tian chua

Ketika ahli perniagaan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya “Sultan Melaka” masih “bersemayam” dalam lokap kerana ditahan reman polis berhubung siasatan dakwaannya itu, tampil individu lain mahu “merampas  takhta”.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron rupanya berdepan tuntutan daripada seorang lagi yang mendakwa pewaris takhta kesultanan Melayu Melaka iaitu seorang ‘permaisuri’ dari Seri Kembangan, Selangor.

Wanita itu yang mendakwa mempunyai kuasa luar biasa dan boleh membuat sumpahan ke atas Melaka jika marah mendakwa suaminya, anak kelahiran Melaka berusia 48 tahun yang sepatutnya mewarisi takhta Kesultanan Melayu Melaka.

Wanita yang menggelarkan dirinya Bonda Ratu Kuasa Alam Tan Sri Sharifah Norlaini Kesuma Dinengret (Ratu Kepulauan Melayu), seorang warga Indonesia dengan keturunan Turki- Acheh telah melabelkan Raja Noor Jan Shah sebagai berlagak

Wanita itu menuntut Datuk Seri Idris Haron memberikan ikrar taat setia kepadanya dan mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri bagi membincangkan bagaimana untuk memulihkan takhta Kesultanan Melayu Melaka.

Wanita terbabit membuat percubaan pertama untuk bertemu Idris di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh dua minggu lalu tetapi gagal.

Idris ketika ditemui pemberita mengakui bahawa ‘permaisuri’ berkenaan dan pembantunya Hidhir Yusof cuba untuk bertemu beliau.

“Mereka datang dan bertemu saya untuk membincangkan mengenai Kesultanan Melaka pada masa kita telah berusaha memberantas royalti palsu di Melaka.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya sibuk dengan kerja dan meminta mereka untuk bertemu pembantu saya jika mereka mempunyai apa-apa perkara kukuh untuk berbincang,” kata Idris.

Idris turut memaklumkan bahawa darjah kebesaran yang diberikan selain daripada oleh Yang Di Pertua Negeri Melaka dianggap tidak sah taraf, dan penerima anugerah tersebut akan dihalang oleh kerajaan daripada menerima apa-apa gelaran asal.

Sementara itu Hidhir, pembantu peribadi wanita itu memberi amaran agar Idris menemui ”bosnya’.

“Dia boleh memanggil ribut angin dan hujan yang tidak berhenti-henti jika tidak dapat menahan kesabarannya.

“Oleh itu, lebih baik ketua menteri bertemu dengannya dan mendengar rahsia Kesultanan Melaka yang tidak sabar-sabar untuk didedahkan kepada beliau,” kata Hidhir.

UTAMABERITATakhta Kesultanan Melaka: Ketua Menteri diugut sumpahan ‘Ratu Kepulauan Melayu’

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium