[DINtv] Tanah runtuh di Genting Highlands

KUALA LUMPUR: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Ion Delemen, Genting Highlands, Bentong dekat sini, petang tadi.

Runtuhan dipercayai berlaku susulan hujan lebat kira-kira jam 5 petang tadi mengakibatkan laluan utama menuju ke sebuah hotel dan pangsapuri servis di situ, terputus.

Setakat jam 6 petang tadi, pekerja serta penghuni hotel dan pangsapuri servis di kawasan itu terkandas, sama ada menuju ke pusat peranginan Genting Highlands atau laluan sebaliknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yusry Abdullah Sani ketika dihubungi memaklumkan, beliau bersama lapan anggota dan tiga jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada jam 5.40 petang.

“Kita dapati berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran Jalan Genting ke Amber Court yang mana tanah runtuh menutupi keseluruhan laluan berkenaan, namun ia tidak membabitkan laluan utama ke pusat pelancongan Genting Highlands.

“Buat masa ini kerja pembersihan jalan dan melencongkan laluan sedang dijalankan pihak kontraktor,” katanya yang turut memberitahu runtuhan-runtuhan kecil masih berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan kejadian namun keadaan dilaporkan tidak serius.

“Tiada kemalangan jiwa atau harta benda dilaporkan dan kita masih jalankan pemantauan.

“Keadaan terkawal namun laluan di situ ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Loading...