TBH – Disyaki menipu, salah guna lesen

 

KUALA LUMPUR 4 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, Setiausaha politiknya, Teoh Beng Hock dan kontraktor, Lee Wye Wing disyaki terlibat dalam kegiatan menipu kerajaan negeri Selangor dengan menyalahgunakan lesen syarikat kontraktor bumiputera bagi mendapatkan projek serta program di bawah peruntukan wakil rakyat.

Pegawai siasatan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Shafik Abdul Rahman @ Alwee berkata, elemen kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan bersubahat itu ditemui selepas beliau mengambil alih siasatan yang sebelum itu dikendalikan oleh SPRM Selangor mulai 27 Ogos 2009.

Katanya, intipati kesalahan sudah mencukupi kerana Wye Wing yang merupakan kontraktor bukan bumiputera menyedari bahawa projek yang diperoleh daripada kerajaan negeri Selangor dengan meminjam nama syarikat kontraktor bumiputera, adalah dikhaskan untuk bumiputera sahaja.

Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap kesalahan tersebut tidak dapat dilakukan berikutan kematian Beng Hock selain kontroversi dan keadaan yang tidak sesuai selepas kejadian tersebut.

‘‘Bagi saya keterangan Beng Hock paling penting. Walaupun kes merujuk kepada Seksyen 18 (tuntutan palsu), terdapat juga kesalahan lain yang boleh disiasat seperti Seksyen 23 (salah guna kuasa) atau menipu di bawah Kanun Keseksaan.

‘‘Saya ada berbincang dengan pihak atasan, tetapi memandangkan keadaan dan senario pada ketika itu, kita tidak boleh siasat lanjut kesalahan lain kerana kemungkinan tidak akan dapat keterangan yang diperlukan terutama keterangan Beng Hock,’’ jelas beliau.

Menurut Ahmad Shafik, keterangan Hian Wah yang merupakan suspek utama dalam siasatan berhubung 80 projek di kawasannya serta ADUN angkat, Kuala Kubu Bharu juga tidak dapat dirakamkan kerana keadaan semasa yang kontroversi serta telah dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Sementara kenyataan Wye Wing terpaksa dirakam beberapa kali berikutan gangguan oleh beberapa peguam termasuk yang tidak dilantik oleh kontraktor itu kerana pihak SPRM terpaksa mengikut kesesuaian masa mereka selain tidak dibenarkan menyoal siasat selepas pukul 5.30 petang.

Katanya, hasil siasatan beliau bagaimanapun mendedahkan sebanyak sembilan syarikat kontraktor bumiputera digunakan oleh Wye Wing untuk meraih projek dan program di bawah peruntukan ADUN negeri Selangor.

Katanya, penyalahgunaan lesen kontraktor bumiputera kelas F itu menyalahi tatacara Perbendaharaan Negeri Selangor yang terikat dengan arahan Perbendaharaan Kementerian Kewangan.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.