Tegak berpaling, duduk berkisar - pakdin.my

SEPANJANG perhimpunan PAN beberapa minggu lalu, pemimpin parti tersebut teruk diasak dan dikritik oleh para perwakilan kerana gagal menunai janji dan cakap tidak serupa bikin. Kritikan dan sindiran tajam perwakilan tidak sukar difahami.

Mereka ini yang terdiri daripada pemimpin dan aktivis parti di peringkat pertengahan dan bawahan ini sedang berhadapan dengan tuntutan dan sindiran masyarakat. Hari ini rakyat menuntut janji daripada Pakatan Harapan (PH).

Mungkin tertekan dengan kritikan bertubi-tubi kepada kerajaan, Khalid memilih untuk menjawab secara keras, kasar dan memberi maklumat-maklumat yang mengelirukan.

Adalah sangat mengecewakan bahawa cara Khalid menjawab bukan sahaja tidak membantu perwakilan meredakan kemarahan masyarakat, malah menimbulkan kontroversi baharu.

Antara kritikan yang diutarakan ialah janji penghapusan tol, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penghapusan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam menjawab isu-isu ini Khalid Samad mendakwa PH tidak dapat menunaikan janji kerana kerajaan tidak ada wang. Hutang kerajaan mencecah RM1 trilion bukannya RM600 bilion seperti yang didakwa oleh Barisan Nasional.

Beliau medakwa kerajaan tidak boleh menjadi seperti Tabung Haji bayar dividen walau rugi. Hakikatnya TH tidak rugi ketika bayar dividen.

Khalid tidak faham isu penyusutan aset dengan keuntungan yang dijana. Kemuncak kepada ucapan yang penuh emosi dan meninggi suara tersebut beliau menggunakan sirah Nabi Muhammad SAW bagi menghalalkan tindakan kerajaan tidak menunaikan janji manifesto.

Menurut Khalid penangguhan dan pemungkiran janji manifesto ini sama seperti kegagalan rombongan umrah Nabi Muhammad SAW semasa Perjanjian Hudaibiyah.

Perumpaan ini sangat tidak tepat dan menunjukkan akhlak muslim yang tidak berapa baik.

Dalam tahun Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah tidak membawa rombongan umrah. Baginda membawa rombongan haji.

Baginda tidak berjanji dan bercakap riak kepada para sahabat dan penduduk Madinah bahawa sesiapa yang mengikut rombongannya akan dapat menunaikan haji.

Baginda hanya membawa rombongan tersebut untuk menunaikan haji kerana ALLAH mengkehendakinya.

Sesungguhnya ALLAH merancang perjalanan ini agar termeterai Perjanjian Hudaibiyah yang kemudiannya merupakan satu perjanjian perdamaian antara kaum Muslimin Madinah dan Musyrikin Makkah.

Perjanjian Hudaibiyah ini akhirnya menjadi salah satu titik penting dalam perkembangan syiar Islam dan penguasaan kaum Muslimin ke atas Tanah Suci Makkah.

Akhlak dan perwatakan nabi jauh berbeza daripada pemimpin PH. Rasulullah dengan penuh diplomasi menghantar Saidina Uthman bin Affan ke Makkah memaklumkan mengenai hasrat rombongan Madinah masuk mengerjakan haji di Kaabah.

Sebaliknya pemimpin PH sepanjang tiga tahun lalu dengan sombong dan bongkak berjanji “bulan dan bintang”. Seolah-olah hari ini mereka menang esok harga petrol akan diturunkan, tol akan dihapuskan, PTPTN akan dihapuskan, BR1M akan diteruskan.

Memang benar manifesto PH tidak menjanjikan harga petrol RM1.50. Namun inilah intipati ucapan dan kempen Pengarah Strategi PH, Rafizi Ramli, ke seluruh negara sejak Ogos 2017. Tidak ada seorang pemimpin PH yang menyatakan sebalik.

Semua orang tahu intipati utama kempen PH ialah hapus tol, hapus PTPTN, pendidikan tinggi percuma, hapus hutang peneroka Felda, petrol RM1.50 seliter, BR1M dikekalkan dan harga barang yang lebih murah dengan penghapusan GST. Ini antara sebab undi rakyat kepada PH.

Rakyat percaya PH mampu melakukan kerana mereka membawa wajah dan ikon Bapa Pembangunan Negara Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini tiada siapa percaya janji PH ini. Namun dengan meletak wajah Mahathir sebagai bakal perdana menteri ia memberi satu keyakinan kepada rakyat bahawa janji ini boleh dilaksanakan.

Malangnya sangkaan dan jangkaan rakyat meleset sama sekali.

Lebih malang para pemimpin PH menggunakan alasan keadaan negara yang mempunyai hutang RM1 trilion, penuh korupsi dan penyelewengan bagi menjustifikasi kegagalan mereka.

Anehnya semua alasan ini juga adalah alasan yang sama mereka guna sebelum pilihan raya untuk menjatuhkan Barisan Nasional.

Sebelum pilihan raya pun mereka telah menuduh hutang negara RM1 trilion, negara ini bakal muflis dan dipenuhi rasuah. Namun mereka meyakinkan rakyat dengan semua masalah ini janji mereka tetap boleh dilaksanakan.

Jadi salahkah rakyat menuntut janji mereka? Jika kerbau kita pegang pada talinya, manusia kita pegang pada janjinya.

Malangnya esok kita menyambut tahun 2019 dengan kerajaan yang ‘tegak berpaling, duduk berkisar’.

Sempena tahun baharu ini izinkan penulis mengungkap pantun melayu lama,

Apa guna tanam keranji,
Kalau tidak manis menggula;
Apa guna janji-janji,
Kalau kata tidak dikota
Kalau ke sini tumbang keranji,
Habislah ranap pokok pinang;
Kalau begini rupanya janji,
Bilalah cakap boleh dipegang.

Oleh: Ab Jalil Backer

UTAMAPOLITIKTegak berpaling, duduk berkisar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium