Terbalikkan kedudukan ibu negeri Sabah & Sarawak oleh media berbahasa Cina

KUCHING – Sebuah rancangan televisyen yang mengadakan siaran langsung sempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan melakukan kesilapan apabila tersalah meletakkan Sabah dan Sarawak dalam peta Malaysia.

Kesilapan rancangan berbahasa Cina yang disiarkan 8TV itu telah tular dalam media sosial kerana “menterbalikkan” kedudukan Kuching, Sarawak dengan Kota Kinabalu, Sabah.

See Hua Daily, sebuah akhbar berpangkalan di Kuching melaporkan, kesilapan pada hari ulang tahun kemerdekaan negara itu sukar diterima oleh orang di Sabah dan Sarawak.

“Jika kesilapan melibatkan Semenanjung yang mempunyai banyak negeri, mungkin ia boleh dimaafkan.

“Tetapi di Malaysia Timur hanya terdapat Sabah dan Sarawak. Begitu susahkah mahu membezakan dua negeri ini?” demikian lapor See Hua Online.

Orang ramai dalam pada itu juga mempertikaikan tahap ilmu geografi pasukan yang menyediakan pengisian rancangan itu.

Dalam rancangan itu, beberapa orang pengacara sedang berhujah tentang negeri-negeri yang ada di Malaysia.

Semasa salah seorang pengacara membuka pelekat pada peta, tertera perkataan Kuching, Sarawak pada tempat yang sepatutnya Sabah. Di lokasi Sarawak pula, tertera Kota Kinabalu, Sabah.

Para pengacara juga segera mengesan kesilapan itu dan melakukan pembetulan. Namun demikian, kesilapan itu telah ditularkan dalam media sosial.

Sementara itu, Primeworks Studios pada malam hari yang sama telah meminta maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan itu. – MalaysiaGazette