Terima gelaran ‘Tan Sri’, Dr Noor Hisham dihujani ucapan tahniah segenap lapisan masyarakat

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerima ucapan tahniah daripada segenap lapisan masyarakat selepas dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM), hari ini.

Dr Noor Hisham menerima penganugerahan itu bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Melawati, Putrajaya.

Antara individu mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham termasuk ahli politik, warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setiap lapisan orang ramai di media sosial.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam reaksinya berkata, penganugerahan bukan sahaja satu pencapaian buat dirinya malah merupakan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan terutama dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lapor Astro AWANI.

Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan turut menyaksikan pengurniaan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Dr Arshad Ayub.

Berkaitan