25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 2, 2020

Terima Hakikat Bukan Semua Tuntutan Dapat Dilayan Sepenuhnya, Kata Dr Mahathir

Bagi memastikan Malaysia terus menikmati keamanan, setiap kaum mesti menerima hakikat bahawa tidak semua tuntutan yang dibuat oleh mereka akan dipenuhi oleh kerajaan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya kesemua kaum faham keadaan itu, negara akan kekal aman sekaligus membolehkan pembangunan ekonomi berlaku dengan pesat.

Beliau juga berkata sekiranya sesuatu kaum mahu tuntutannya dipenuhi, secara tidak langsung ia akan menidakkan hak kaum lain di samping mewujudkan persaingan di antara kaum-kaum di negara ini.

“Saya berpendapat mentadbir negara yang berbilang kaum berbeza dengan pentadbiran negara yang hanya mempunyai satu etnik saja kerana sudah tentu ada tuntutan masing-masing dari kaum masing-masing.

“Di Malaysia untuk menentukan keadaan jadi aman, setiap satu kaum itu mesti terima hakikat bahawa tidak 100 peratus daripada tuntutannya dapat dilayan. Kalau hendak juga 100 peratus, sudah tentu dia akan menidakkan hak sesuatu kaum yang lain,” katanya dalam program Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan di RTM 1 Jumaat malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai keterbukaan yang diperkenalkan oleh kerajaan selepas pilihan raya umum 2004 yang menyebabkan beberapa suara berani tampil menuntut hak sama rata.

Tiga panel terdiri daripada Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong, Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Pensyarah Universiti Malaysia (Unimas) Dr Jeniri Amir.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia adalah satu-satunya negara yang telah memberikan kebebasan kepada semua kaum menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan untuk digunakan di sekolah-sekolah.

Katanya perkara ini dibenarkan bagi menghormati dan menyedari keinginan kaum tertentu untuk mengekalkan penggunaan bahasa mereka di peringkat sekolah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata perkara membabitkan tuntutan sama rata boleh dibetulkan kembali dengan memberikan kefahaman yang mendalam kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini mengenai prinsip yang telah diamalkan sejak penubuhan Malaysia.


“Apabila hidup dalam negara berbilang kaum, kita kena terima hakikat bahawa kita tidak akan dapat satu per satu daripada apa yang kita anggap sebagai hak itu.

“Ini soal kefahaman. Kalau kita faham bahawa kita sebenarnya duduk dalam masyarakat berbilang kaum dan tidak boleh menuntut semua untuk diri kita, dan juga dihebahkan kepada rakyat jelata, saya yakin mereka akan terima seperti dahulu juga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak cergas atau kurang aktif pada masa kini, Dr Mahathir berkata mereka perlu aktif turun padang dan cuba mendekati masyarakat di peringkat akar umbi dengan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Selain itu, katanya rakyat juga perlu sedar, selepas lebih 50 tahun merdeka, hasil kerjasama antara parti-parti komponen inilah yang mewujudkan keadaan terbaik yang dinikmati rakyat pada masa kini.

“Kita harus ingat kepada diri kita, hampir selama 50 tahun kita bekerjasama melalui kerajaan campuran ini dan kerajaan campuran inilah yang membawa kejayaan kepada Malaysia, jauh lebih baik dari kerajaan-kerajaan lain.

“Justeru, kita tidak harus menolak sistem yang memberi nikmat kepada kita daripada sesuatu yang kita tidak tahu lagi,” katanya.

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai pemilihan calon yang boleh menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan dan peringkat akar umbi.

Katanya calon boleh menang dalam pilihan raya yang bergantung kepada penilaian dan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan penasihat, kemungkinan bercanggah dengan kehendak parti dan menimbulkan masalah “mencantas calon” dalam pilihan raya.

Ketika ditanya mengenai masa sesuai untuk diadakan pilihan raya, Dr Mahathir berkata: “Lewat sikit pun tidak apa. Ini boleh memberi masa kepada Najib untuk membuat penilaian siapa yang harus menjadi calon”.

Berita Berkaitan

Anwar janji lepas jawatan jika gagal tumbangkan PN, kata Pemuda PAN Bukit Bintang

Ketua Pemuda PAN Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Bawazeer mendakwa Anwar Ibrahim berjanji akan melepaskan...

PAS Selangor belum bincang agihan kerusi, nafi tanding 3 Parlimen

PAS Selangor belum mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi di negeri itu termasuk memuktamadkan calon...

Tun Mahathir kempen Kerajaan Perpaduan lagi

Ketika krisis politik melanda negara, nampaknya bekas perdana menteri paling lama, Tun Dr Mahathir...

Agong guna ‘soft power’ selamatkan negara dari ahli politik kata peguam

Kejayaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengemudi negara ketika kerajaan...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

00:01:14

[Video] BN dan UMNO akan pantau perlaksanaan skim i-Sinar tidak rumit dan menyusahkan rakyat

Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.. Seperti yang dimaklum Menteri Kewangan petang tadi dalam Dewan Rakyat, dia...