Terminal Feri Antarabangsa Kukup kembali beroperasi sepenuhnya 6 Nov - pakdin.my

PONTIAN — Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat sini yang ditutup sejak September lepas akan kembali beroperasi sepenuhnya pada 6 Nov ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata terminal itu yang sepatutnya dibuka semula hari ini terpaksa ditunda ke Rabu depan berikutan beberapa isu teknikal yang dihadapi pengusaha feri.

“Kita terpaksa tunda pada 6 Nov bagi memberi laluan kepada pengusaha dan pengendali feri untuk menguruskan proses permindahan feri dari Puteri Harbour dan urusan insurans.

“Saya akan selalu pantau perkara ini dan pastikan terminal dibuka dan beroperasi sepenuhnya pada 6 Nov,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan ternakan ikan dalam sangkar, yang terletak berhampiran terminal itu, hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri.

Operasi terminal feri itu dihentikan sementara mulai 1 Sept lepas dan operasinya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri.

Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Terminal Feri Antarabangsa Kukup menyediakan perjalanan feri ke Tanjung Balai di Pulau Karimun, Indonesia.

Sementara itu, menjelaskan perkara sama, Mohd Solihan berkata pengendali feri di situ memerlukan masa untuk menyelesaikan urusan dokumentasi membabitkan perjalanan ke Indonesia.

“Pihak pengurusan terminal sudah sedia, agensi-agensi kerajaan juga dah sedia dan fasiliti pun sedia, hanya pengendali feri perlukan sikit masa untuk urusan itu,” katanya.

Mohd Solihan berkata kerajaan negeri juga tidak mahu melewatkan pembukaan semula terminal itu kerana dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan ekonomi peniaga di kawasan berkenaan.

“Kita yakin selepas terminal dibuka dengan purata 1,000 penumpang sehari akan mengembalikan limpahan ekonomi kepada peniaga di sini,” katanya.

— BERNAMA

UTAMABERITATerminal Feri Antarabangsa Kukup kembali beroperasi sepenuhnya 6 Nov

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium