26.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 7, 2021

Thailand tawar sajian berasaskan ganja

BANGKOK: Restoran Abhaibhubejhr Spa Cuisine berhampiran Hospital Chao Phraya Aphaiphubetdi di Prachin Buri di timur Bangkok mula menawarkan menu berasaskan ganja selepas Thailand mengeluarkan kanabis daripada senarai bahan narkotik.

Ia secara langsung memberi kebenaran kepada syarikat terpilih yang diluluskan untuk menanam tumbuhan itu untuk tujuan komersial mengikut syarat ditetapkan.

‘Giggling bread’ dan ‘joyfully dancing salad’ adalah antara nama sajian yang dihasilkan untuk jualan.

Walaupun ia bukan menu yang biasa di lihat di Thailand, restoran itu berharap sajian yang dicampur ganja itu dapat menarik pelancong asing.

Ketua projek terbabit di hospital itu, Pakakrong Kwankao, berkata ia juga secara tidak langsung menghapuskan tanggapan negatif terhadap tanaman itu.

“Apabila daun kanabis (ganja) dimasukkan dalam makanan, walaupun dalam jumlah kecil, ia akan membantu menyembuhkan pesakit dengan pantas.

“Daun kanabis boleh menaikkan selera makan dan membolehkan individu tidur lena, serta berada dalam ‘mood’ atau perasaan gembira,” katanya.

Hospital itu dikenali sebagai perintis di Thailand dalam penyelidikan ganja dan kemampuannya mengurangkan kesakitan serta kepenatan.

Pada 2017, Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan kanabis dalam perubatan dan membuka beberapa klinik perubatan menggunakan ganja sejak itu.

Seorang pelanggan restoran di hospital itu, Ketsirin Boonsiri, berkata beliau tidak pernah memakan kanabis sebelum ini dan mendapati rasanya pelik, tapi sedap.

Seorang lagi pengunjung, Nattanon Naranan, berkata rasa daun kanabis hampir sama seperti sayuran lain, namun kesan selepas dimakan amat berbeza.

“Ia menjadikan tekak saya kering dan menyebabkan saya mahu makan sesuatu yang manis,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan Thailand, Kanokwan Vilawan, berkata langkah seterusnya adalah menyajikan sajian terkenal Thailand dengan menggunakan ganja kepada pengunjung antarabangsa.

“Kami merancang untuk menambah lebih banyak (ganja) ke dalam sajian popular Thailand, seperti kari hijau, untuk meningkatkan lagi populariti sajian ini,” katanya. – AGENSI

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.