‘Tidak akan ada kebebasan akhbar mutlak jika pun kerajaan berubah’ - pakdin.my

Datuk Abdul Jalil Ali

KAJANG – Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali percaya bahawa tidak akan ada kebebasan akhbar yang mutlak jika pun kuasa atau parti baru memerintah negara ini kelak.

“Pada tanggapan saya, siapa saja yang memerintah negara ini, saya rasa tidak akan ada kebebasan mutlak sebab kerajaan mengakui bahawa maklumat memainkan peranan yang berpengaruh, tidak kira siapa yang memerintah.

“Saya tidak fikir di tempat kita ini akan ada kebebasan akhbar mutlak, (waima) kalau kerajaan lain pun memerintah Malaysia ini, kebebasan akhbar yang mutlak tidak akan ada,” kata beliau pada Seminar Media Arus Perdana: Etika Kewartawanan dan Masa Depan di Kompleks Dar Al-Hikmah, Kampung Sungai Ramal Dalam di sini, hari ini.

Seminar anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia, Kumpulan Prihatin, Yayasan Penataran Ilmu, Wadah Pencerdasan Umat dan Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia dihadiri hampir 100 orang.

Selain Abdul Jalil, seminar itu turut membariskan Ketua Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman sebagai ahli panel dan ia dipengerusikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin.

Seminar ini diadakan kira-kira sebulan selepas kerajaan meminda Akta Media Cetak dan Penerbitan.

Abdul Jalil juga berpendapat terdapat beberapa faktor utama menyumbang kepada punca bidang kewartawanan yang didakwa tidak beretika kebelakangan ini.

“Persaingan yang sengit dalam industri suratkhabar ada kena-mengena dengan persoalan etika ini.

“Etika kewartawan telah digubal oleh Institut Akhbar Malaysia dan antara lain, ia menyebut siaran satu-satu berita itu hendaklah berasaskan fakta dan harus bersumber yang sahih… itu asas etika kewartawanan.

“Ertinya kebenaran itu amat penting dalam apa juga penyiaran yang kita hendak lakukan sama ada di media cetak ataupun elektronik, tetapi persoalan sekarang ini sama ada etika itu dipenuhi ataupun tidak,†katanya.

Abdul Jalil juga berpendapat bahawa pemilikan sesuatu akhbar itu memainkan peranan penting dalam berita yang dikeluarkan.

“Seperti mana kita sedia maklum kebanyakan akhbar arus perdana dimiliki parti politik. Kita selalu salahkan penulis tetapi kita lupa siapa pemilik akhbar terbabit.

“Sebagai contoh surat khabar itu dimiliki sebuah parti politik, apakah ketua editor atau mereka yang berada di jabatan pengarang boleh mengeluarkan pandangan secara peribadi? sebab akhirnya jawatan mereka akan ditentukan oleh pemilik akhbar itu iaitu parti terbabit,†katanya.

Abdul Jalil turut berpendapat bahawa pengiklanan juga memainkan peranan penting dalam penerbitan sesesbuah akhbar.

Dalam pada itu, seminar hari ini turut meluluskan resolusi menolak segala laporan berbentuk lucah, mengaibkan seseorang di ruang awam, membunuh karakter dengan menginjak-injak maruah, mengaibkan dan memalukan seseorang secara sewenang-wenangnya bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga telah mencabul hukum agama.

Selain itu, resolusi juga menyeru pihak pemerintah dan pembangkang mengambil kira akan prinsip asas media dan kewartawanan wajib berdasarkan fakta, kebenaran dan sumber yang sah.

Malah, resolusi juga menyeru masyarakat menolak dan menyatakan bantahan secara terbuka terhadap laporan dan pemberitaan yang melanggar nilai dan etika kewartawanan.

UTAMABERITA'Tidak akan ada kebebasan akhbar mutlak jika pun kerajaan berubah'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium