Tiga Jemaah Baru Pulang Menunaikan Haji Maut Di LPT - pakdin.my

Tiga Jemaah Baru Pulang Menunaikan Haji Maut Di LPT

Waris tiga jemaah haji yang menemui ajal dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini awal pagi ini tidak menyangka saat yang ditunggu-tunggu dengan penuh gembira bagi menyambut kepulangan mereka dari tanah suci bertukar pilu.

Dalam kejadian 3.40 pagi di Km210.2, LPT dekat Gambang itu, van yang membawa pulang lima jemaah haji ke Kuantan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) telah merempuh belakang lori muatan bijih besi mengakibatkan tiga maut dan tiga lagi termasuk pemandu cedera.

Tiga yang maut ialah Kamarudin Ab. Rahman, 43, Zainab Awang Hassan, 59, dan Fatimah Said, 63 manakala isteri dan ibu Kamaruddin, Tuan Mazlinawati Tuan Abdullah, 40, dan Rokiah Ibrahim, 63, serta pemandu van Robaie Roslan, 45, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Cucu Fatimah, Nur Syafiqa Lyanna Saidi, 25, berkata dia tidak sabar menunggu kepulangan neneknya selepas tidak bertemu lebih sebulan, namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Dia (Fatimah) memang kat sana katanya ‘happy’ sebab tahun lepas dia dah nak pergi cuma tak dapat…tapi tak sangka pulak nak jadi macam ni.

“Keluarga pun terima berita ini (kematian) dengan reda,” katanya dalam sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, HTAA.

Seorang anggota keluarga Kamarudin, Khairul Azhan Zainol, 41, berkata mereka sekeluarga merancang untuk bercuti ke Pulau Langkawi selepas pulang dari Makkah.

“Saya hubungi biras saya, Mazlinawati (isteri Kamarudin) pada kira-kira pukul 4 pagi untuk bertanya sama ada sudah sampai di Kuantan sebab jangka sampai pukul 2 pagi namun mereka lewat.

“Ketika menghubungi Mazlinawati saya diberitahu mengenai kemalangan itu dan kami sekeluarga terus bergegas ke HTAA,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Gambang pada petang.

 

 

UTAMABERITATiga Jemaah Baru Pulang Menunaikan Haji Maut Di LPT

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium